MAIK belanjakan RM33.4 juta bantu rakyat terjejas Covid-19

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membelanjakan RM33.4 juta wang zakat bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, wang berkenaan diagihkan kepada 40,000 rakyat menerusi Program Prihatin MAIK Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Menurutnya, sebanyak RM21.9 juta telah diagihkan kepada asnaf yang memerlukan melalui tiga fasa pelaksanaan program berkenaan bermula awal PKP lagi.

“MAIK turut melancarkan Program Prihatin MAIK Covid-19 Fasa Empat yang menumpukan kepada asnaf dan rakyat Kelantan memerlukan.

“Bagi fasa empat sebanyak RM11.5 juta dikhaskan dan RM7.7 juta melalui Agihan Zakat Diperawalkan dan Bantuan Musibah Civid-19 berjumlah RM3.8 juta,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah beliau, Agihan Zakat Diperawalkan membabitkan empat kategori iaitu bantuan tetap bulanan kepada fakir miskin bagi Januari dan Februari berjumlah RM4,895,00 yang mana terus dikreditkan ke akaun penerima.

Kategori kedua katanya, bantuan persekolahan kepada asnaf berjumlah RM2,415,900 dan diagihkan melalui imam masjid bandar dan musim seluruh Kelantan.

“Wang zakat juga dimanfaatkan sebagai bayaran elaun penuh kepada sukarelawan masjid bandar dan jajahan bagi Januari dan Februari 2021 membabitkan RM255,000.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu ada juga bayaran elaun siak masjid mukim kategori A bagi bulan Januari dan Februari membabitkan perbelanjaan RM105,000,” katanya.

Tambahnya, bagi Bantuan MAIK Musibah Covid-19 pula direalisasikan menerusi 11 program serta bantuan yang telah dikhaskan.

Antaranya kata beliau, bantuan rawatan perubatan kepada fakir miskin berjumlah RM350,800, bantuan kepada asnaf menerusi 604 masjid seluruh negeri dengan peruntukan RM1,208,000 dan bantuan kepada penuntut intitusi pengajian tinggi bernilai RM264,300.

Katanya, terdapat juga bantuan pembangunan ekonomi kepada asnaf fakir miskin berjumlah RM152,500, bantuan bakul makanan melalui 17 masjid bandar dan jajahan bernilai RM170,000.

“Selain itu terdapat bantuan am kepada asnaf fakir miskin, sumbangan pembelian mesin jahit bagi menyediakan PPE untuk kegunaan barisan hadapan di hospital dan sumbangan makanan kepada ketua isi rumah orang asli.

“Sumbangan bakul makanan kepada peserta kelas mingguan fardu ain saudara baru di setiap jajahan, bantuan khas guru, tenaga pengajar institusi pendidikan Islam (pondok, tahfiz, sekolah agama swasta berdaftar dengan MAIK) juga diberikan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berterima kasih kepada semua pembayar zakat, pewakaf, penyumbang Baitulmal MAIK yang sentiasa iltizam serta konsisten memberikan sumbangan pada setiap tahun untuk diagihkan kepada golongan layak.