X

Kindly register in order to view this article
!

Tugas berat buat Kedah

Aidil Sharin enggan memikirkan soal kedudukan Kedah selepas undian Piala AFC dijalankan pada Rabu.
A
A

UNDIAN Piala AFC yang berlangsung pada Rabu menyaksikan wakil Malaysia, Kedah Darul Aman (KDA) FC diundi bersama wakil dari Vietnam, Saigon FC dan Lion City Sailors dari Singapura dalam Kumpulan H.

Prestasi kedua-dua pasukan lawan dalam liga domestik dilihat konsisten selain Lion City Sailor kini dalam usaha memantapkan pasukan selepas diambil alih oleh pengasas platform e-dagang Shopee iaitu Forest Li.

Terbaru, pasukan berkenaan turut mencipta sejarah bagi Liga Perdana Singapura (SPL) selepas menandatangani pemain tengah Brazil, Diego Lopes dari pasukan Liga Primeira Portugal, Rio Ave dengan nilai 1.8 juta euro.

Bagi Kedah, kali terakhir mereka beraksi dalam saingan Piala AFC ialah pada 2008 selaku juara Liga Super bagi musim 2007.

Pasukan dari utara itu yang dibarisi pemain seperti Marlon Alex James, Nelson Sam Martin dan Khyril Muhymeen berjaya melayakkan diri ke perlawanan kalah mati, namun terkandas di peringkat tersebut.

Sementara itu, satu lagi wakil Malaysia iaitu Terengganu FC (TFC) diundi dalam Kumpulan I bersama naib juara Liga Filipina, Kaya FC dan Singapura, Geylang International.

Satu lagi slot bakal diisi wakil Myanmar sama ada Shan United atau Ayeyawady United.

Menurut Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, dia enggan memikirkan kedudukan pasukannya dalam saingan Piala AFC sebaliknya memberikan tumpuan terhadap latihan pemain bagi mempersiapkan pasukan lebih-lebih lagi Liga Malaysia (Liga-M) bakal bermula pada Mac depan.

“Saya akui kita berada dalam kumpulan yang mempunyai pasukan kuat. Bagaimanapun saya lebih memberikan tumpuan kepada latihan bagi mempersiapkan pemain.

“Dalam keadaan sekarang kita tak boleh jangka apa kemungkinan boleh berlaku. Tambahan pula perlawanan kita akan bermula pada Jun depan,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini pemain Kedah menjalani latihan secara individu menerusi program yang telah disusun oleh kem kejurulatihan.

“Mereka perlu menghantar report secara dalam talian selepas latihan dibuat. Jadi daripada situ kita boleh melihat perkembangan setiap pemain. Ini situasi yang kita hadapi sekarang dalam normal baharu.

“Buat masa sekarang kita memang tidak dibenarkan turun padang untuk latihan. Saya harap dalam masa terdekat ini kita boleh turun semula,” katanya.

Untuk rekod, saingan peringkat kumpulan Piala AFC di Zon Selatan, Tengah dan Timur berlangsung pada 14 Mei, diikuti Zon Barat bermula pada 23 Mei.

Bagi Zon Asean pula saingan dijadual bermula pada 22 hingga 28 Jun depan dengan format 'round robin'.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!