Penoreh getah maut, motosikal langgar tiang tumbang

Seorang penoreh getah maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar sebatang tiang TM yang tumbang di KM69.9 Jalan Kota Bharu - Gua Musang di Guchil 7, Kuala Krai pada Rabu. - Foto ihsan pembaca
Seorang penoreh getah maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar sebatang tiang TM yang tumbang di KM69.9 Jalan Kota Bharu - Gua Musang di Guchil 7, Kuala Krai pada Rabu. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang penoreh getah maut selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar sebatang tiang Telekom Malaysia (TM) yang tumbang di Kilometer 69.9 Jalan Kota Bharu - Gua Musang di Guchil 7 di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa Hanafi Yusof, 45, maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Difahamkan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kampung Bedal ke bandar Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

"Siasatan awal mendapati, sejurus tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang mangsa telah melanggar tiang TM yang tumbang dan menghalang laluan itu," katanya.

Menurutnya, tiang berkenaan dipercayai tumbang selepas dilanggar oleh sebuah lori yang melalui jalan tersebut sebelum itu.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk proses bedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Suzaimi berkata, polis kini sedang giat mengesan pemandu lori berkenaan untuk membantu siasatan.