CIDB diminta beri bantuan subsidi kepada kontraktor

Azman Yusoff
Azman Yusoff
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menyarankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memberi bantuan subsidi kewangan untuk ujian saringan Covid-19 melibatkan pekerja tapak pembinaan.

Presiden PKBM, Datuk Azman Yusoff berkata, bantuan tersebut dapat mengurangkan kos ditanggung kontraktor dan membolehkan pengasingan pekerja yang dikesan positif Covid-19.

Menurutnya, selain itu PKBM turut mencadangkan agar CIDB merendahkan bayaran levi sebanyak 50 peratus daripada kadar yang dikenakan ke atas kontrak kerja pembinaan.

“Pemantauan yang lebih menyeluruh di tapak-tapak pembinaan juga perlu dilakukan. Malah pusat penempatan pekerja yang selesa juga wajar disediakan walaupun ianya pelan jangka panjang bagi industri pembinaan negara

"Malaysia perlu mengikut jejak Singapura dan Thailand yang mengasingkan penempatan pekerja dengan tapak pembinaan bagi menjamin tahap kebersihan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Cadangan tersebut diutarakan susulan kenyataan akhbar oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mengarahkan CIDB untuk menangani dengan segera isu penempatan pekerja di tapak pembinaan yang menjadi punca penularan kes Covid-19.

Mengulas lanjut, Azman mengakui kontraktor kecil bumiputera mendapat kesan yang teruk akibat pandemik Covid-19 memandangkan syarikat konsesi memonopoli kerja-kerja yang diluluskan kerajaan dengan menawarkan harga kontrak yang lebih rendah berbanding kontraktor kecil bumiputera.

Katanya, peluang pekerjaan bagi kontraktor G1-G4 amat memberi impak ketika pandemik dan perkara tersebut menyebabkan industri pembinaan menerima kesan yang teruk berbanding industri lain.

Artikel Berkaitan:

“Berkaitan isu pemegang konsesi di seluruh negara, ada syarikat-syarikat konsesi di lihat seolah-olah ingin menghapuskan kontraktor-kontraktor kecil bumiputera kerana sesetengah bidang kerja yang diluluskan hanya dimonopoli oleh syarikat yang dikatakan mempunyai kepakaran bidang itu sahaja.

“Di Johor, dilaporkan konsesi ini hanya mengundang enam syarikat gergasi tetapi membunuh hampir 7,000 kontraktor G1-G2. Peluang mereka sangat terhad kerana syarikat konsesi ini mengamalkan harga kontrak dengan menawarkan harga yang jauh lebih rendah,” katanya.