Tokan dadah guna penghantar makanan 'edar' bekalan

Pemeriksaan di sekatan jalan raya bagi mengekang kegiatan pengedaran dadah yang menggunakan khidmat penghantar makanan. - Foto: FB Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM
Pemeriksaan di sekatan jalan raya bagi mengekang kegiatan pengedaran dadah yang menggunakan khidmat penghantar makanan. - Foto: FB Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan wujud cubaan pengedar dadah yang mengambil kesempatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menggunakan khidmat penghantar makanan untuk menghantar bekalan dadah kepada pembeli.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya percaya taktik itu sekali lagi digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"JSJN Bukit Aman telah mengambil tindakan proaktif dengan menempatkan anggota bertugas di sekatan jalan raya bagi mengekang aktiviti ini.

"Jika orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai pengedaran dadah, boleh hantarkan WhatsApp ke Hotline JSJN di talian 012-2087222 (beroperasi 24 jam)," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, pihaknya memberi jaminan bahawa setiap identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

JSJN Bukit Aman telah mengambil tindakan proaktif dengan menempatkan anggota bertugas di sekatan jalan raya bagi mengekang aktiviti itu. - Foto: FB Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM
JSJN Bukit Aman telah mengambil tindakan proaktif dengan menempatkan anggota bertugas di sekatan jalan raya bagi mengekang aktiviti itu. - Foto: FB Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM

Sebagai rekod, taktik pengedar dadah itu pernah ditumpaskan polis dalam beberapa siri tangkapan ketika PKP tahun lalu.

Pada 14 April tahun lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pekerja penghantar makanan terkejut selepas bungkusan makanan yang dibawanya berisi peket dadah di Gombak, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu memaklumkan dia menerima pesanan melalui aplikasi tempahan daripada seorang individu di Tropicana Petaling Jaya untuk menghantar bungkusan kepada penerima di Setapak, Kuala Lumpur.

Arifai berkata, semasa berada di kawasan Gombak, pengadu telah membuka bungkusan itu kerana curiga dan mendapati dalam bungkusan roti canai itu terdapat dua peket plastik lut sinar disyaki dadah.