Lebih 2,500 saman sepanjang pematuhan Ops Covid-19

Zulkarnain (tengah) berbincang sesuatu dengan anggota PDRM semasa turun padang menghantar bekalan makanan kepada anggota SJR di Stesen Penguatkuasaan Air Sejuk, Kemaman pada Rabu.
Zulkarnain (tengah) berbincang sesuatu dengan anggota PDRM semasa turun padang menghantar bekalan makanan kepada anggota SJR di Stesen Penguatkuasaan Air Sejuk, Kemaman pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan sebanyak 2,580 notis saman dalam tempoh pematuhan Ops Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 22 Januari lalu.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 2,312 melibatkan pelbagai kesalahan yang dikesan menerusi operasi itu.

Menurutnya, sebanyak 890 kes kesalahan teknikal, tiada lesen memandu kompeten (CDL) (270), CDL tamat tempoh (51), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (160), tiada insurans (113), lebih muatan (78), muatan bahaya (56) dan lain-lain kesalahan 694 kes.

“Bagi tempoh itu juga, sebanyak 9,371 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 2,187 sudah diambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, pematuhan Ops Covid-19 dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ini tetapi JPJ hanya mengeluarkan notis kepada pengguna jalan raya mengikut kesalahan di jalan raya sahaja.

“Kerjasama ini bertujuan membantu PDRM dalam usaha memutuskan penularan Covid-19,” katanya.

Katanya, operasi itu melibatkan 34 lokasi di sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini selain pemantauan di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Hentian Bas Marang, Hentian Bas Satelit Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Hentian Bas Geliga Kemaman dengan kekuatan 136 anggota dan dipecahkan kepada 20 pasukan.

Artikel Berkaitan: