X

Kindly register in order to view this article
!

Sungai tercemar bertukar hitam, bau busuk

Sungai di Kampung Bagan Sungai Buloh di sini, tercemar hingga bertukar kehitaman dan berbau busuk.
A
A

KUALA SELANGOR - Nelayan dan penternak kerang di Kampung Bagan Sungai Buloh mengeluh kerana air sungai yang menjadi punca pendapatan mereka tercemar sehingga bertukar kehitaman dan berbau busuk sejak tiga hari lalu.

Mereka mendakwa masalah itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya sentiasa berulang sejak lebih lima tahun lalu.

Seorang nelayan, Mohd Ismail Ibrahim, 66, mendakwa, sungai bertukar kehitaman dan berbuih seperti sisa minyak serta berbau bangkai.

"Biasanya air sungai ini jernih tetapi kembali bertukar hitam akibat perbuatan pihak tertentu yang dipercayai melepaskan sisa industri," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Ismail mendakwa pernah membuat aduan kepada pihak berkuasa tetapi tiada tindakan diambil.

"Sampai bila, kami (nelayan) terpaksa menghadapi masalah yang tiada kesudahan ini. Pendapatan nelayan yang mencari rezeki dengan menangkap ikan dan udang di sungai itu turut terjejas.

Tambah Mohd Ismail, sebelum ini dia mampu memperoleh 15 kilogram (kg) udang setiap hari hasil menjaring tetapi kini sukar untuknya mendapat 1kg udang.

Seorang nelayan, Yunus Ismail, 49, berkata, sudah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pencemaran sungai.

Seorang penduduk menunjukkan sampel air sungai itu berubah warna kehitaman.
Seorang penduduk menunjukkan sampel air sungai itu berubah warna kehitaman.

Katanya, punca sebenar pencemaran itu tidak diketahui secara umum, tetapi ia dipercayai dilakukan pihak industri yang melepaskan sisa tercemar ke dalam sungai terbabit.

"Tindakan tegas perlu diambil bagi menyelesaikan masalah pencemaran sungai seterusnya memberi kesedaran kepada pihak tidak bertanggungjawab agar tidak sewenang-wenangnya membuang sisa pelepasan ke dalam sungai," katanya.

Bagi pengusaha kebun kerang, Mohd Fadillah Kahar, 35, pula, pencemaran mengakibatkan pembiakan benih kerang di kawasan itu terancam.

Mohd Fadillah yang mengusahakan kebun kerang seluas 60 hektar di sungai itu mengakui pendapatannya jauh merosot berbanding lima tahun lalu.

"Jika dahulu, saya mampu menaikkan sehingga 80 guni kerang sehari tetapi sekarang banyak kerang mati disebabkan pencemaran sungai," katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Buloh, Rozaimi Zainal berkata, aduan mengenai isu pencemaran sungai yang mengganggu aktiviti kira-kira 500 nelayan di kawasan itu sering diajukan kepada pihak berkaitan.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli turut meninjau masalah itu pada Selasa.

"Kita berharap pihak berkuasa turun padang dan menyelesaikan masalah ini segera dan kita merayu supaya penguatkuasaan tegas diambil terhadap pesalah," katanya.

Sementara itu, Juwairiya berkata, masalah pencemaran di kawasan itu masih belum selesai dan pendapatan nelayan terjejas.

"Diharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah pencemaran di sungai terbabit," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!