Lelaki mabuk dua kali rempuh SJR ditahan

Peralatan SJR rosak selepas dirempuh seorang pemandu mabuk di SJR Melamam, Sipitang.
Peralatan SJR rosak selepas dirempuh seorang pemandu mabuk di SJR Melamam, Sipitang.
A
A
A

SIPITANG - Tindakan seorang lelaki merempuh sekatan jalan raya (SJR) sebanyak dua kali membawa padah apabila dia ditahan polis di tepi jalan Kampung Bangsal, Sindumin pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 36 tahun terbabit didapati memandu dalam keadaan mabuk dan bertindak merempuh SJR Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan di Melamam.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, suspek memandu kereta Perodua Kancil dari arah Sipitang menuju ke Tenom.

"Ketika kejadian, suspek merempuh SJR walaupun terdapat papan halangan polis dan selepas itu suspek bertindak melarikan diri.

"Selang 10 minit kemudian, suspek berpatah balik dan sekali lagi merempuh SJR terbabit sebelum terus melarikan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Champin berkata, anggotanya bertindak mengejar suspek dan berjaya mengesannya sebelum ditahan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian selepas tayar kereta dipandunya pecah.

"Ketika ditahan suspek didapati berada dalam keadaan mabuk.

"Akibat kejadian itu beberapa peralatan SJR rosak namun anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas ketika itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Champin berkata, suspek kini direman untuk mendapatkan maklumat tujuan atau niat suspek merempuh SJR sebanyak dua kali.

"Suspek dan kereta yang dipandunya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.