X

Kindly register in order to view this article
!

FDI tercorot, Azmin diminta segera beri penjelasan: Pemuda UMNO

Asyraf Wajdi Dusuki
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO meminta Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan tindakan segera kerajaan untuk menangani kejatuhan teruk pelaburan terus asing (FDI) ke dalam negara.

Desakan itu merujuk laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang pengaliran masuk FDI ke Malaysia jatuh 68 peratus kepada AS$2.5 bilion pada 2020.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kecewa apabila Malaysia yang satu ketika sentiasa berada pada kedudukan teratas dan dikenali sebagai destinasi mesra dan tumpuan utama pelabur asing, kini tercorot.

"Nampaknya kepercayaan dan keyakinan pelabur masih belum pulih selepas berlaku perubahan kerajaan pada 2018.

"Antara punca utama ialah tiada polisi jelas mengenai ekonomi yang membentuk persepsi bahawa kerajaan boleh menukar dasar sedia ada yang mungkin tidak memihak pelabur untuk segmen tertentu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, antara faktor penentu kemasukan pelaburan asing ialah prinsip pengurusan risiko pelaburan dan perdagangan antarabangsa yang dipanggil 'sovereign or political risk’.

Beliau berkata, indikator penting 'sovereign risk' itu ialah kontrak yang termeterai boleh berubah apabila berubahnya sesebuah kerajaan.

Menurutnya, banyak peristiwa menyumbang kepada peningkatan 'sovereign risk' atau persepsi risiko untuk berdagang dengan Malaysia setelah jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018.

"Antaranya pembatalan kontrak perjanjian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan syarikat konglomerat negara China, China Communications Construction Group Ltd (CCCC) dan penamatan kontrak perjanjian projek HSR dengan Singapura," katanya.

Selain itu, katanya, penamatan projek saluran paip pelbagai produk (MPP) sepanjang 600 kilometer daripada Melaka dan Port Dickson ke Kulim Kedah bernilai RM 5.35 bilion.

"(Turut mempengaruhi ialah) pembatalan projek saluran paip gas Trans-Sabah (TSGP) sepanjang 662 kilometer daripada Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau bernilai RM4.04 bilion walaupun proses pembinaan sedang berjalan

"(Juga) pembatalan projek-projek infrastruktur di Sarawak yang menghubungkan kawasan terpencil seperti jambatan Batang Rambungan, Kuching; jambatan Kuala Kemena, Bintulu; jambatan Batang Lassa, Mukah; jambatan Batang Saribas, Betong; jambatan Batang Krian, Betong dan jambatan Batang Paloh, Mukah," katanya.

Menurut Asyraf, kerajaan Sarawak terpaksa membiayai sendiri projek berkenaan bagi mengelakkan rakyat negeri tersebut ketinggalan.

Beliau berkata, tuduhan liar wujud korupsi dan penyelewengan terhadap syarikat China yang berurusan di Malaysia setelah Pakatan Harapan memerintah juga mempengaruhi peningkatan 'sovereign risk'.

"Sedangkan Presiden Xi Jinping antara yang keras dan tegas menentang korupsi.

"Semua insiden di atas amat mempengaruhi persepsi dan sentimen pelabur luar negara ke atas Malaysia sehingga kejatuhan nilai FDI menjunam dan pasti memberi kesan langsung kepada peningkatan kadar pengangguran dan pembuangan kerja apabila banyak syarikat dan kilang-kilang ditutup atau berpindah ke negara jiran," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!