Ibadah tidak terhenti walaupun masjid, surau ditutup

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memahami kegusaran dan kebimbangan umat Islam di negeri Selangor yang belum boleh menunaikan solat fardu dan solat Jumaat di masjid kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin membaca sendiri rayuan yang disalurkan menerusi Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan permohonan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkenaan perkara itu.

Bagaimanapun menurutnya, baginda menegaskan keputusan mengehadkan bilangan jemaah di masjid bertujuan menjaga keselamatan umat Islam.

"Apatah lagi, statistik terbaru di Selangor membabitkan kes jangkitan Covid-19 masih lagi meningkat dengan jumlah kematian yang tinggi.

"Ketika ini, jumlah kes positif di Selangor mencecah lima digit dan tiga digit bagi angka kematian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, baginda juga kesal dengan segelintir pihak yang tidak berfikir panjang dan hanya mementingkan diri hingga sanggup memudaratkan jemaah lain apabila meminta operasi masjid dan surau beroperasi seperti biasa.

"Baginda tidak mahu lebih ramai rakyat Selangor mendapat jangkitan akibat lalai mematuhi PKP dan SOP sehingga boleh menyebabkan kematian.

"Selepas ini, baginda berharap tidak ada lagi pihak yang bertelagah sesama sendiri berhubung keputusan yang telah diambil sebulat suara oleh pihak berwajib ini demi keselamatan umat Islam di Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Tegas baginda, tidak bererti masjid dan surau ditutup maka amal ibadah juga akan terhenti," katanya.