Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi didakwa terima rasuah

A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan rasuah membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM230,000.

Bagaimanapun, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, 56, mengaku tidak bersalah ketika kedua-dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, Noor Ehsanuddin didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ahli Lembaga Pengarah Kemajuan Tanah Persekutuan Felda (Felda) yang bertugas di Felda telah menerima suatu benda berharga iaitu deposit tunai bernilai RM50,000 melalui akaun Maybank miliknya daripada Karya Hidayah Sdn Bhd yang mana diketahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank Kluang yang beralamat di Jalan Dato' Haji Hasan, Kluang pada 6 September 2013.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ahli Lembaga Pengarah Felda yang bertugas di Felda menerima suatu benda berharga iaitu sebidang tanah berkeluasan 0.1421 hektar bernilai RM180,000 di Lot 5786 dekat Mukim Kota Tinggi daripada Karya Hidayah Sdn Bhd yang mana diketahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Lombong, Kota Tinggi pada 23 Mac 2014.

Untuk kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil mencadangkan wang jaminan berjumlah RM40,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Kamarudin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 serta menetapkan tarikh 27 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Noor Ehsanuddin diwakili peguam Datuk Thrichelvam dan Vincent Lawrence.

Semalam, bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 12.40 tengahari

Difahamkan, tertuduh telah menggunakan jawatannya semasa menjawat jawatan Ahli Lembaga Pengarah Felda dengan mengambil tindakan mengesyorkan dan meluluskan pelantikan sebuah syarikat pencetakan yang disyaki dirinya mempunyai kepentingan bagi kerja-kerja penerbitan Akhbar 1Suara di Felda daripada tahun 2012 hingga 2015 yang dianggarkan bernilai lebih RM13 juta.

Sebagai balasan, pada tahun 2013, dia telah menerima suapan wang ringgit bernilai RM50,000 dan pada 2014 menerima sebidang tanah di Mukim Kota Tinggi bernilai kira-kira RM180,000.