AS beku jual jet F-35 kepada UAE dan senjata untuk Arab Saudi

Gambar fail menunjukkan sebuah jet F-35 terbang di Pangkalan Tentera Udara Luke dekat Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah jet F-35 terbang di Pangkalan Tentera Udara Luke dekat Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bertindak membekukan pakej jualan jet-jet tempur F-35 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan senjata kepada Arab Saudi baru-baru ini, kata beberapa pegawai pada Rabu.

Walaupun pentadbiran Biden baharu melaksanakan tugas pada Rabu minggu lalu, ia telah memberi petunjuk untuk menamatkan sokongan kepada perikatan tentera diketuai Arab Saudi dan disokong UAE yang campur tangan dalam perang saudara di Yaman.

Ketika ini, Yaman berhadapan dengan krisis kemanusiaan yang teruk ekoran peperangan itu.

Jurucakap Jabatan Negara AS berkata, pentadbirannya menghentikan pelaksanaan sejumlah jualan peralatan pertahanan buat sementara waktu bagi memberi peluang pentadbiran baharu melakukan kajian semula.

"Ini merupakan tindakan rutin oleh pentadbiran dan menunjukkan komitmen pihak pentadbiran (Biden) untuk melakukan tata kelola pemerintahan yang terbaik dan telus," kata jurucakap itu seperti dilaporkan oleh AFP.

Tindakan itu bertujuan untuk memastikan jualan peralatan ketenteraan AS memenuhi objektif strategiknya iaitu bagi menjadikan rakan keselamatan Washington menjadi lebih kuat.

Jualan yang paling berprofil tinggi itu ialah melibatkan pakej jualan jet-jet F-35 kepada UAE yang bernilai AS$23 bilion (RM93.05 bilion).

Pakej penjualan kepada UAE itu turut melibatkan dron-dron manakala AS sedang melakukan persediaan untuk menjual senjata-senjata kepada Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Bekas pentadbiran Presiden AS, Donald Trump bersetuju untuk melakukan penjualan jet-jet F-35 yang kalis radar itu kepada sebuah negara Arab selepas UAE bersetuju untuk mengiktiraf Israel pada tahun lalu.

Trump turut menyokong jualan senjata kepada Arab Saudi atas dasar komersial dengan berkata, negara itu mencipta peluang pekerjaan di AS dengan membeli barangan yang dikeluarkan oleh negaranya.

Namun, menurut AFP persoalan kini timbul sama ada UAE akan meneruskan hubungan diplomatik dengan Israel yang dianggap Trump sebagai satu pencapaian dasar luar negaranya.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken semasa sesi bagi mengesahkan jawatannya di Dewan Senat berkata, tindakan campur tangan Arab Saudi bagi menentang pemberontak Houthi yang mendapat sokongan Iran di Yaman telah menyumbangkan kepada situasi kemanusiaan di negara itu menjadi lebih teruk. - Agensi