‘Hannah Yeoh jangan kelirukan rakyat soal darurat’

Kamarul Zaman Yusoff dan Hannah Yeoh
Kamarul Zaman Yusoff dan Hannah Yeoh
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh diminta untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat berhubung langkah kerajaan melaksanakan darurat bagi menangani Covid-19.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, kenyataan Hannah yang mengatakan bahawa tiada negara lain yang mengisytiharkan darurat bagi mengatasi penularan Covid-19 adalah tidak benar.

Kamarul berkata, ini kerana data yang dikeluarkan oleh Civil and Political Rights (CCPR Centre) menunjukkan sebanyak 79 negara pernah membuat pengisytiharan darurat bagi membendung penularan wabak tersebut.

“Dalam Sinar Live bertajuk ‘Batal Darurat Ok Atau Tak?’, Hannah dengan yakinnya menyebut ‘Covid-19 ini bukan sahaja satu masalah yang unik untuk rakyat Malaysia, Covid-19 ini berlaku di banyak negara yang lain dan kita lihat juga di negara lain mereka tidak perlu melancarkan darurat untuk menyelesaikan Covid-19’.

“Ahli Parlimen Segambut, yang berkelulusan undang-undang, ini ada baca atau tidak? Kalau mahu kelirukan rakyat Malaysia sekalipun, berpada-padalah wahai Yang Berhormat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Pada Rabu, Hannah telah dijemput untuk memberikan pandangannya berkenaan dengan isu keperluan untuk mengadakan darurat pada program ‘Sinar Live: Batalkan Darurat Ok atau tak’ yang bersiaran langsung di Facebook Sinar Harian.

Sementara itu, Kamarul berkata, CCPR Centre yang merupakan sebuah badan hak asasi manusia berpusat di Geneva, Switzerland itu telah membuat satu “tracking tool” untuk mengesan negara yang telah membuat pengisytiharan darurat bagi menangani pandemik Covid-19 seawal 1 April tahun lalu.

Jelasnya, bilangan 79 negara yang pernah membuat pengisytiharan darurat itu seharusnya telah meningkat lebih tinggi ekoran perkembangan terbaharu penularan Covid-19 yang sudah pun jauh berbeza daripada waktu mula data itu dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

Antara negara yang dilaporkan pernah mengisytiharkan darurat dalam data tersebut ialah Indonesia, Thailand, Finland, Amerika Syarikat, New Zealand, Switzerland, Iceland dan Belgium.