Kadar baharu fi pindah milik, perintah jual tanah

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bersetuju untuk melaksanakan remisen bagi fi pendaftaran pindah milik, perintah jual (lelong) tanah di negeri ini.

Pelaksanaan kadar fi baharu itu akan berkuat kuasa 1 Februari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, persetujuan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Rabu sebagai responsif kepada aduan rakyat khususnya yang dianggap munasabah berhubung perkara itu sebelum ini.

Menurutnya, melalui pelaksanaan remisen itu, kadar fi baharu bagi nilaian tanah RM50,000 dan ke bawah ditetapkan pada kadar RM100 manakala RM125 bagi nilaian tanah melebihi RM 50,000 hingga RM 100,000.

"Bagi nilaian tanah melebihi RM 100,000 hingga RM 150,000 kadar fi ditetapkan RM500, 150,000 hingga RM250,000 (RM750), RM250,000 hingga RM300,000 (RM1,000), RM300,000 hingga RM400,000 (RM1,200) dan bagi nilai tanah melebihi RM RM400,000 hingga RM600,000 finya RM2,500.

"Seterusnya untuk nilai tanah melebihi RM 600,000 hingga RM 750,000 kadar fi RM3,000, RM750,000 hingga RM1 juta (RM3,500), RM1 juta hingga RM1.5 juta (RM4,000), RM1.5 juta hingga RM2 juta (RM4,500),RM2 juta hingga RM2.5 juta (RM5,000), RM2.5 juta hingga RM3 juta (RM5,500) dan bagi nilaian tanah melebihi RM 3 juta ke atas kadar finya RM6,000," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga memutuskan perjanjian jual beli yang dimatikan setem duti sebelum atau pada 31 Januari 2021, akan dikenakan fi pada kadar lama dan pembayaran balik akan dibuat kepada pemilik tanah untuk lebihan bayaran fi pendaftaran yang telah dibuat.

"Fi pendaftaran pindah milik tanah kepada pembeli rumah pertama dikenakan pada kadar minimum, RM100.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan fi pendaftaran pindah milik tanah yang baharu kepada pembeli projek PR1MA Pahang, Rumah Makmur Pahang atau mana-mana projek perumahan di bawah Kerajaan Negeri diberikan moratorium sehingga 31 Disember 2021," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri bersetuju memperluaskan pentakrifan pemberian kasih sayang daripada ibu atau bapa kepada anak atau sebaliknya, suami kepada isteri atau sebaliknya, dan antara adik-beradik kandung.

"Fi pendaftaran pindah milik tanah bagi pemberian ini juga dikenakan pada kadar minimum, RM100 sahaja.

"Dengan pelaksanaan remisen pada kadar fi baharu yang telah diputuskan ini diharapkan, dapat melegakan hati semua pihak terutamanya rakyat yang terkesan dengan pelaksanaannya sebelum ini," katanya.