Warga emas direman 2 hari kes sogok polis RM28,150

Warga emas tersebut direman dua hari sehingga Jumaat untuk membantu siasatan.
Warga emas tersebut direman dua hari sehingga Jumaat untuk membantu siasatan.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang warga emas direman dua hari bermula hari ini (Khamis) sehingga Jumaat untuk membantu siasatan berhubung kes memberi suapan kepada pegawai polis.

Wanita berusia 63 tahun itu didakwa memberi sogokan sebanyak RM28,150 kepada pegawai polis sebagai suapan dipercayai untuk melepaskan tangkapan dalam rampasan kes penyeludupan dan pengedaran rokok serta minuman keras tanpa cukai.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Jamaliah Abd Manap di Mahkamah Majistret Georgetown, di sini pada Khamis selepas dipohon Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G Jayarah.

Warga emas itu diwakili peguam, Zainal Akram Zainal Azahar dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana memberi suapan kepada penjawat awam.

Terdahulu, wanita tersebut ditahan bersama enam lelaki tempatan berusia lingkungan 27 hingga 67 tahun selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran rokok dan arak seludup di negeri ini.

Kesemua mereka ditahan menerusi Ops Kontraban yang dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman di Barat Daya dan Seberang Perai Tengah di sini.

Operasi tersebut berjaya merampas 184,800 batang rokok kretek dan 1,632 tin arak tanpa cukai dengan masing-masing bernilai RM151,536 dan RM10,883.

Selain rokok kretek dan arak, polis turut merampas enam kereta dianggarkan bernilai RM40,000 serta wang tunai RM218,187 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM448,756.

Artikel Berkaitan:

Kesemua suspek yang ditahan bersama wang sogokan kemudian diserahkan kepada SPRM Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.