Siapa pun pemimpin AS, dasar mereka tetap sama

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas menyifatkan siapa sahaja pemimpin yang menang jawatan Presiden Amerika Syarikat tetap akan meneruskan polisi yang sama kerana pengaruh zionis menebal dalam diri mereka.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perbezaan bagi Presiden baharu negara itu hanyalah pendekatannya sahaja nampak 'halus'.

“Joe Biden yang menang akan tetap meneruskan polisi yang sama kerana turut dipengaruhi oleh zionis. Perbezaan yang kita lihat hanya pendekatannya sahaja.

"Ia laksana angin bertiup sepoi bahasa yang mampu menjatuhkan kera yang berpaut pada dahan yang kukuh setelah tidak mampu dijatuhkan oleh ribut taufan yang kuat dan ganas.

“Maka dipilih pendekatan diplomatik yang lembut supaya masuk ke dalam pengaruhnya, dan dapat diletak serta diatur dalam percaturannya,” katanya dalam kenyataan Minda Presiden Pas pada Khamis.

Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, realiti politik Amerika Syarikat laksana papan dan buah catur yang sama, hanya sekadar bertukar pemainnya sahaja.

Menurutnya, semua negara sekadar mahu dijadikan buah catur mereka sahaja, mengikut kehendak pemain dan tidak mampu bergerak sendiri.

“Biden adalah penyokong dasar terdahulu terhadap Israel dan campur tangan ke dalam urusan negara Islam seperti menyerang Afghanistan, mengkhadamkan puak Kurdi di sempadan Turki, Syria, Iraq dan Iran.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuklah penggerak perang proksi di Syria, Libya dan Yaman, memecah belahkan Iraq serta mengepung Iran dan mengugut semua negara yang tidak mengikut kehendaknya,” katanya.

Menurutnya, Biden tetap meneruskan polisi yang sama dengan perubahan mengikut keadaan semasa sahaja, khususnya dalam menghadapi kebangkitan semula umat Islam.

“Kini sudah ada negara yang berlumba untuk mendukung siapa yang menang kerana melihat peluang untuk berpaut dengan negara yang dianggap besar itu.

“Mereka sekadar masih menumpang harapan bagi mengekalkan kuasa di bawah naungan Amerika dan mendapatkan kuasa dengan pertolongannya.

“Peranan Amerika Syarikat dapat dilangsungkan selagi ada manusia yang terus bersedia menjadi khadam mereka atau meminta untuk menjadi khadam. Kelompok itu pasti akan dipergunakan lagi seperti biasa,” katanya.

Katanya lagi, segala perancangan Amerika Syarikat akan dapat dilakukan, sekiranya masih ada bangsa dan negara yang bersifat masih dijajah pada hakikatnya, walaupun sudah diisytiharkan kemerdekaan sejak beberapa dekad yang lalu.

"Mereka masih lagi bergantung dengan pengaruh negara bekas penjajah, walaupun negara penjajah itu sudah gugur satu demi satu di negara masing-masing.

“Ada yang masih bergantung kewangannya mengikut mata wang dolar Amerika yang tidak diketahui apakah ada cagarannya atau hanya kertas kosong yang dicetak sahaja.

“Ada juga yang masih bergantung dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan bantuan riba Yahudi. Konsep Zionis yang dilaknat oleh ALLAH,” katanya.

Tambahnya, mata wang Dolar Amerika tetap mempunyai dua wajah, walaupun satu keping sahaja. Apa yang berbeza hanyalah dua wajahnya sahaja.

"Namun, ada negara yang masih berdiri dengan meneruskan pergantungan kepada negara sekeping Dolar yang akan lusuh," katanya.