Jahit kasut bukan cari untung, tapi niat sedekah

Ibrahim menjahit kasut pelanggan di sudut rumahnya.
Ibrahim menjahit kasut pelanggan di sudut rumahnya.
A
A
A

TUMPAT - Tangan dan jari tuanya bagaikan kebal terkena tusukan jarum ketika menjahit kasut, membuatkan kesakitan itu tidak dihiraukannya.

Ibrahim Senik, 84, dari Kampung Geting mengakui tidak pernah jemu sebaliknya apa dilakukan itu dengan niat untuk bersedekah.

Katanya, dia mahu menggembirakan semua orang apabila kasut yang rosak dapat dipakai semula selepas dijahit olehnya.

Menurutnya, dia mengambil upah hanya sekitar RM3 hingga RM5 setiap kasut yang dijahitnya dengan menjadikan sudut dapurnya sebagai tempat membaiki kasut.

“Pak cik caj murah-murah saja sebab niat nak sedekah.

“Tak jemu-jemu menjahit kasut ini pun bukanlah kerana kejar duit tapi pak cik tak boleh kalau tak bekerja.

“Duit tak habis nak makan sebab anak-anak dah bagi setiap bulan,” katanya mempunyai 15 anak dan lebih 30 cucu serta 10 cicit.

Ibrahim berkata, dia terjebak sebagai tukang kasut sejak 35 tahun lalu apabila melakukan pekerjaan berkenaan sambil menjaga isteri sakit.

Artikel Berkaitan:

“Sampai ke hari ini masih lagi melakukan pekerjaan ini, mata masih terang, boleh lagi nak cucuk benang di lubang jarum.

“Cuma telinga sahaja kurang dengar mungkin zaman muda pak cik kerja sebagai tekong bot, selalu dengar bunyi bising enjin bot,” katanya.