X

Kindly register in order to view this article
!

Duit RM125,498.25 lesap selepas dihubungi 'pegawai LHDN'

Gambar kecil: Elias
A
A

ALOR SETAR - Seorang pembantu tadbir amanah mengalami kerugian sebanyak RM125,498.25 selepas menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyamar sebagai 'pegawai' Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 6 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Kontinjen Negeri Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, wanita dari Jitra berusia 46 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Noraini Daud dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600.90.

Menurutnya, suspek memaklumkan akan membekukan semua akaun mangsa dan tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya jika tidak membayar tunggakan cukai berkenaan.

"Mangsa telah menafikan perkara tersebut dan suspek telah menyambungkan kepada pihak 'polis' bagi laporan penafian tersebut dan 'polis' tersebut telah menyatakan bahawa akaun mangsa telah terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.28 Juta.

"Mangsa telah terima beberapa panggilan berkaitan perkara yang sama sehinggakan mangsa berasa takut dan telah membuat pinjaman dengan pihak bank sebanyak RM120,000," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Elias berkata, mangsa diminta oleh suspek untuk membuat kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) baru serta meminta mangsa membatalkan perbankan dalam talian.

"Mangsa akur serta membuat seperti yang diarahkan oleh suspek. Mangsa juga telah diberikan link termasuk kata laluan bagi tujuan şiasatan pihak mereka di mana link yang memaparkan pautan daripada pihak 'Bank Negara Malaysia'.

"Mangsa diarahkan mengisi segala maklumat peribadi termasuk butiran kad ATM. Mangsa telah diugut tidak boleh mendedahkan apa-apa maklumat semasa şiasatan dijalankan," katanya lagi.

Menurutnya, pada Selasa lalu, mangsa telah menghubungi suspek bagi bertanyakan perkembangan şiasatan kes tersebut dan beliau tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan sebelum membuat semakan bank di Jitra, dekat sini.

"Setelah mangsa membuat semakan mendapati wang dalam akaun-akaun miliknya telah hilang sebanyak RM125,498.25 melibatkan 13 transaksi ke akaun pihak ketiga.

"Mangsa membuat laporan polis pada hari sama di Balai Polis Jitra dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu)," katanya.

Tambah Elias, kerugian tersebut merupakan kerugian tertinggi yang direkodkan bagi bulan Januari di Kedah dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan penyamaran oleh pihak sindiket ini yang telah menyamar sebagai wakil dari LHDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), mahkamah, bank mahupun badan penguat kuasa yang lain.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!