Maritim Perlis rampas 20 set bubu naga

No Image Caption
A
A
A

KANGAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kuala Perlis merampas 20 set bubu naga di kedudukan kira-kira satu batu nautika daripada barat laut muara Sungai Kurung Tengar, Kuala Perlis kira-kira jam 3.35 petang Rabu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai RM2,400 itu dikesan oleh bot peronda Maritim semasa melaksanakan Ops Benteng Laut di perairan Perlis, dan ia telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Katanya penggunaan bubu naga boleh mengakibatkan anak-anak ikan dan udang mudah untuk masuk ke perangkap jaring terbabit, sekali gus akan menjejaskan biodiversiti marin serta mengakibatkan hasil laut semakin berkurangan.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata tahap kesedaran yang rendah dalam komuniti nelayan serta keinginan mengaut untung yang cepat dan mudah antara punca penggunaan bubu naga masih berleluasa, dan menurutnya pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Mohd Shafie berkata pada bulan November lepas, Maritim Perlis telah melupuskan 170 set bubu naga dianggarkan bernilai RM17,000 membabitkan rampasan sepanjang tahun 2019 di perairan negeri Perlis. - Bernama

Artikel Berkaitan: