MBJB bantu gelandangan di Bandaraya JB

Golongan gelandangan beratur untuk mengambil makanan disumbangkan pihak NGO dan pelbagai pihak di Laman Tun Sri Lanang, Johor Bahru.
Golongan gelandangan beratur untuk mengambil makanan disumbangkan pihak NGO dan pelbagai pihak di Laman Tun Sri Lanang, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mengurangkan beban golongan gelandangan di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Yayasan Kebajikan Negara serta NGO seperti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

"Antara bantuan tersebut dengan memberi bantuan makanan pada setiap hari di Laman Tun Sri Lanang di pusat bandar raya ini.

"Berdasarkan pemantauan, terdapat 340 gelandangan di pusat bandar Johor Bahru yang aktif terutama pada hujung minggu yang memerlukan bantuan makanan berterusan," katanya berucap dalam Mesyuarat Penuh MBJB di sini pada Rabu.

Pada Selasa Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail serta Pengarah JKM Johor, Mohamad Hapil meninjau laman itu yang dijadikan pusat pengedaran makanan bagi gelandangan di bandar raya ini.

Menurut Zaiton, kerajaan negeri akan terus berusaha mengurangkan jumlah gelandangan di bandar raya ini yang wujud semula dan bertambah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 baru-baru ini.

Zaiton (kiri) dan Mohamad menunjukkan kad khas membolehkan gelandangan mengambil makanan disediakan pihak NGO dan sumbangan pelbagai pihak di Laman Tun Sri Lanang, Johor Bahru.
Zaiton (kiri) dan Mohamad menunjukkan kad khas membolehkan gelandangan mengambil makanan disediakan pihak NGO dan sumbangan pelbagai pihak di Laman Tun Sri Lanang, Johor Bahru.

Adib berkata, hasil sumbangan diberikan pelbagai pihak, PBSM selaku penyelaras kini mempunyai kapasiti untuk membekalkan makanan kepada 200 gelandangan pada hari biasa dengan jumlah pemberian makanan tiga kali sehari.

Artikel Berkaitan:

"Pada hujung minggu pula, pihak PBSM mempunyai kapasiti pemberian makanan kepada sehingga 350 gelandangan. Diingatkan juga agar golongan gelandangan yang menerima bantuan makanan dapat menjaga kebersihan bandar raya," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan Johor melalui MBJB telah memulakan inisiatif membantu golongan itu dengan menyediakan Pusat Transit Gelandangan Bangsa Johor di Larkin bagi memudahkan usaha memantau dan melakukan intervensi yang sesuai.