Tiga ekor ular rusuk kerbau bawah tong gas

Anggota APM berjaya menangkap tiga ular rusuk kerbau yang berada di bawah tong gas sebuah stor rumah pada Rabu.
Anggota APM berjaya menangkap tiga ular rusuk kerbau yang berada di bawah tong gas sebuah stor rumah pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Disangka hanya seekor, rupa-rupanya tiga ekor ular ditemui di bawah tong gas petroleum cecair (LPG) di bilik stor sebuah rumah yang dihuni dua beranak di Kampung Sungai Yu di sini pada Rabu.

Dalam kejadian jam 1. 30 petang itu, A Muniandy, 22, dan ibunya berusia 68 tahun baharu sahaja pulang ke rumah selepas membeli makanan tengah hari.

Muniandy berkata, dia menyedari kejadian itu semasa ingin mengambil barang dalam bilik stor berkenaan.

"Saya terkejut apabila ternampak kepala seekor ular di celah lubang tong gas sebelum reptilia itu menyelinap masuk bawah tong gas terbabit," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurutnya, dia yang ternampak kehadiran reptilia itu kemudian memaklumkan kepada ibunya yang ketika itu berada di ruang tamu sebelum keluar bagi meminta bantuan orang ramai.

"Kebetulan semasa saya keluar, ternampak seorang pemandu lori kelapa sawit memberhentikan kenderaannya dan memberitahunya tentang penemuan ular tersebut.

"Lelaki itu segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor bagi memaklumkan kejadian tersebut," katanya.

Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.10 petang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seramai empat pegawai dan anggotanya kemudian bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba, kami membuat pemantauan di dalam stor dan sejurus mengangkat tong gas terbabit, kami temui tiga ular jenis rusuk kerbau sepanjang satu meter," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira tiga minit bagi menangkap ular tersebut menggunakan penjerut.

"Ular yang ditangkap kemudian dilepaskan ke kawasan hutan yang jauh daripada penempatan penduduk," katanya.