Bumbung rumah rosak, nyawa jadi taruhan

Keadaan bumbung yang rosak teruk membimbangkan penduduk.
Keadaan bumbung yang rosak teruk membimbangkan penduduk.
A
A
A

KLANG - Kira-kira 1,000 penghuni Pangsapuri Bukit Tinggi 1 (Fasa 4) di Jalan Batu Nilam 15, di sini, terpaksa bergadai nyawa apabila siling dan bumbung di 11 blok pangsapuri kos rendah berkenaan reput serta bocor.

Difahamkan, masalah itu berlaku sejak 10 tahun lalu dan kini semakin serius.

Pokok tumbuh di atas bumbung kerana tiada penyelenggaraan.
Pokok tumbuh di atas bumbung kerana tiada penyelenggaraan.

Seorang penduduk, Selan Adon, 70, bimbang apabila siling di bilik tidur serta tandas di kediamannya reput dan hanya menanti masa masa untuk runtuh.

Katanya, keadaan bertambah teruk apabila hujan lebat menyebabkan air mengalir ke dalam rumah.

“Tiap kali hujan, makcik akan sediakan baldi dan besen untuk tadah hujan yang mengalir laju masuk melalui siling.

“Memang tak larat sebab kena mop dan cuci lantai. Airnya busuk sebab banyak bangkai burung atas bumbung pangsapuri ini,” katanya ketika ditemui.

Warga emas ini juga khuatir dengan keselamatannya lebih-lebih lagi dia tinggal seorang diri selepas kematian suami sejak lapan tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Siling dalam rumah ni pun dah reput, tunggu masa nak jatuh. Makcik pun bukan orang kaya, hanya harapkan bantuan JKM dan zakat sahaja. Ini sahaja harta peninggalan arwah suami.

Selan yang sudah 18 tahun menetap di rumah itu terpaksa meneruskan kehidupannya di situ walaupun setiap hari bimbang akan berlaku kejadian tidak diigini berikutan masalah berkenaan.

Selan Adon
Selan Adon

Tanggung kerugian

Bagi pesara kerajaan, R Muniandi, 68, ramai penduduk yang tinggal di tingkat paling atas terpaksa menanggung kerugian akibat perabut dan kelengkapan elektrik rosak kerana air.

Menurutnya, bumbung rosak dan bocor teruk itu membimbangkan kerana banyak kelengkapan rumah kediaman penduduk di tingkat paling atas sudah rosak.

“Sejak tinggal di sini 18 tahun lalu, sudah tiga kali saya terpaksa ganti televisyen baru kerana rosak. Itu belum termasuk perabot seperti katil, bantal yang perlu diganti baru,” katanya yang terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000.

Dia yang tinggal di Blok E berkata, masalah itu berlarutan sejak 10 tahun lalu namun sehingga kini tiada tindakan diambil pihak berkenaan.

“Kami perlu membayar yuran penyelenggaraan RM50 setiap bulan, tapi bila kami buat aduan mengenai masalah ini, tiada siapa yang ambil peduli.

“Rasa macam tak berbaloi dengan yuran bulanan yang terpaksa kami bayar tapi kerja-kerja selenggara di pangsapuri ini tidak dijalankan dengan sewajarnya.

‘Lebih menyedihkan keadaan ini dah berlarutan sejak 10 tahun lalu dan tidak digantikan dengan yang baharu,” katanya.

Muniandi turut meluahkan kerisauannya untuk meninggalkan rumah dalam tempoh lama, lebih-lebih lagi pada musim hujan.

“Bila tengok cuaca mendung, kami akan cepat-cepat balik, bimbang mengalir dalam dalam rumah.

“Atapun sebelum keluar, kami akan tutup semua peralatan elektrik dan perabot dengan plastik. Baru lega kalau nak pergi ke mana-mana,” katanya.

Ramai berpindah

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) pangsapuri berkenaan, Abdullah Jamrid, 55, berkata, pangsapuri empat tingkat yang dibina 18 tahun lalu itu terlalu daif dan mengalami banyak masalah.

Menurut beliau, penghuni pangsapuri itu sudah lama mengharapkan masalah itu diselesaikan segera.

“Bumbung dan siling di tingkat paling atas sudah banyak yang rosak berikutan tidak pernah diganti sejak 18 tahun lalu.

“Kami sudah banyak kali mengadu kepada pihak pengurusan pangsapuri ini, namun hingga ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil,” katanya.

Abdullah Jamrid
Abdullah Jamrid

Katanya, disebabkan masalah itu juga, ramai penghuni mengambil keputusan berpindah demi keselamatan mereka.

“Oleh itu kami merayu pihak berkaitan mengambil langkah perlu bagi memastikan keselamatan penghuni di sini terjamin,” katanya.