16 tahanan lokap Balai Polis Mantin positif Covid-19

No Image Caption
A
A
A

NILAI - Seramai 16 tahanan lokap di Balai Polis Mantin disahkan positif Covid-19 selepas menjalani saringan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kesemua tahanan berkenaan dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan seorang tahanan lelaki dari Penjara Sungai Udang, Melaka yang positif Covid-19.

"Lelaki itu telah diambil dari Penjara Sungai Udang, Melaka dan didapati positif setelah dihantar ke sebuah penjara di utara semenanjung.

"Jadi, kesemua 16 tahanan yang positif Covid-19 akan dipindahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Penjara Sungai Buloh, Selangor dengan kawalan keselamatan oleh polis," katanya pada satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, seramai 31 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai yang dikenal pasti menjadi kontak rapat dengan tahanan berkenaan telah disaring dan kini sedang menjalani kuarantin kendiri.

Beliau berkata, semua balai polis dan bangunan pentadbiran IPD Nilai juga telah disanitasi dan masih beroperasi seperti biasa.

"Kita telah mendapat kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah Seremban dalam mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan warga IPD Nilai dan juga tahanan yang berada dalam jagaan IPD Nilai," katanya.

Artikel Berkaitan: