Vaksin lepasi fasa ketiga diyakini selamat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar virologi negara menegaskan bahawa vaksin Covid-19 yang mendapat kebenaran daripada badan berkaitan untuk diedarkan kepada masyarakat awam adalah selamat untuk digunakan.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, ini kerana kesemua vaksin yang mendapat kelulusan telahpun melalui kesemua proses keselamatan yang membolehkan ia digunakan.

“Di dalam proses pembangunan vaksin, ia akan melalui tiga fasa iaitu fasa pertama, fasa kedua dan fasa ketiga. Jadi berkenaan keselamatan dan keberkesanan sesebuah vaksin itu, ia memang telah dipantau bermula daripada fasa dua.

“Sekiranya di fasa kedua, sesebuah vaksin itu telah menunjukkan kesan sampingan yang tinggi, ia tidak akan dibenarkan untuk melalui fasa ketiga dan seterusnya mendapatkan kelulusan untuk diedarkan kepada masyarakat awam.

“Jadi dalam erti kata lain, semasa fasa dua, sesebuah vaksin itu telah menunjukkan keberkesanan dan juga kesan sampingannya terhadap pengguna. Di situ sudah dinilai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, kesemua vaksin yang selamat digunakan oleh orang awam telah melepasi ketiga-tiga fasa dalam proses pembangunan vaksin itu.

“Saya ambil contoh beberapa jenis vaksin antaranya seperti Pfizer dan Modena, ia telahpun melalui ketiga-tiga fasa ini. Kalau ikutkan, Pfizer dia telah melakukan fasa tiga kepada lebih daripada 40,000 orang.

“Data itu semua sudah ada. Sebab itu mereka diberi kelulusan kecemasan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai beberapa kes kematian yang didakwa berlaku akibat daripada pengambilan vaksin Covid-19, Yahya berkata, kejadian tersebut belum terbukti bahawa ia disebabkan kerana kesan langsung pengambilan vaksin tersebut.


Sazaly
Sazaly

Menurutnya, terdapat kemungkinan bahawa kematian terpencil yang berlaku itu adalah disebabkan kerana keadaan kesihatan mangsa yang sudah sedia terjejas dan diburukkan lagi dengan kesan sampingan yang dihadapi akibat pengambilan vaksin.

“Untuk vaksin ini, dia ada kriteria dia. Tidak semua orang boleh terima, jadi itu perlu difahami. Jadi kalau kita berada dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan sampingan yang teruk mungkin kita tidak sesuai untuk menerima vaksin tersebut.

“Sebab itu masa nak bagi vaksin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan lakukan saringan terlebih dahulu sebab mereka sedia maklum kriteria yang perlu dipenuhi sebelum vaksin ini diberi,” katanya.

Sementara itu, pakar virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, isu berkenaan keselamatan vaksin kepada orang awam sepatutnya tidak timbul kerana ia terbukti telah digunakan oleh jutaan orang awam di seluruh dunia.

Menurutnya, isu utama yang perlu difahami oleh orang ramai adalah berkenaan tahap kesan sampingan ataupun alahan yang lazimnya dialami oleh mereka yang telah melakukan pengambilan vaksin.

“Sebagai contoh, ramai sahaja orang yang memiliki alahan kepada pelbagai jenis makanan. Malah, orang yang ada alahan untuk mengambil makanan laut mungkin lebih banyak daripada mereka yang ada alahan terhadap kesan sampingan pengambilan vaksin.

“Sebab itu, yang mana ada alahan, dia mungkin kena berbincang dengan doktor kerana untuk konteks Covid-19 ini, kita ada pelbagai jenis vaksin.

“Kita di Malaysia beruntung sebab kita ada pelbagai pilihan jenis vaksin yang diambil oleh kerajaan. Jadi, untuk yang adalah alahan, mereka akan akan memiliki pilihan untuk menentukan vaksin mana yang sesuai untuk mereka,” katanya.