'Walau bukan orang paling kaya...', warga maya kagumi Ebit Lew

Hantaran dikongsikan di laman Facebook Ebit Lew menerima lebih 15,000 komen.
Hantaran dikongsikan di laman Facebook Ebit Lew menerima lebih 15,000 komen.
A
A
A

SHAH ALAM - Warga maya mengagumi usaha dilakukan pendakwah bebas, Ebit Lew yang menghantar misi bantuan ke Sabah menggunakan My Jet Xpress dan Zen Aviation selain bantuan daripada Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines).

Kesungguhan Ebit Lew turun padang membantu ramai orang di seluruh negara disifatkan satu perkara luar biasa walaupun beliau bukanlah individu paling kaya di Malaysia atau terlibat dengan politik.

Hantaran dimuat naik Ebit Lew di laman sosial Facebooknya dihujani pelbagai ucapan tanpa mengira latar belakang masyarakat yang berterima kasih dengan kesungguhannya membantu semua golongan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Kata Sabarudin Mohd Noor, walaupun nama Ebit Lew tidak tersenarai sebagai orang paling kaya di negara ini namun tanggungjawabnya membantu menderma kepada masyarakat, seolah-olah menggambarkan beliau individu paling kaya di dunia.

Kasturi Muthu pula menulis, "Saya hanya 'follower' dalam Facebook ini. Walaupun saya ini bangsa lain tapi terharu tengok ustaz. Menteri yang kaya raya pun tak akan tolong sebegini. Moga tuhan permudahkan segala urusan ustaz bersama krewnya".

Warga maya dikenali Mohd Elias Hassan pula menyifatkan sikap pemurah dan dermawan Ebit Lew seperti baginda Rasulullah SAW.

"Baginda Nabi Muhammad SAW juga bersifat dermawan. Jika usaha dan teladan sebegini dicontohi pemimpin lain, akan nampak syiar Islam yang bergemerlapan. Semoga dipermudahkan urusan amal soleh ini," katanya.

Antara komen-komen warga maya yang mengagumi usaha Ebit Lew membantu rakyat di negara ini ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Antara komen-komen warga maya yang mengagumi usaha Ebit Lew membantu rakyat di negara ini ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Bukan itu sahaja, Owa Nuur juga menggelarkan Ebit Lew pendakwah yang hebat dan satu dalam sejuta.

"Satu dalam sejuta pendakwah yang terlalu banyak membantu sesama manusia dalam kesusahan. Tanpa mengira bangsa dan agama. Saya doakan ustaz dipermudahkan urusan dan dilindungi ALLAH selalu," tulisnya.

Tulis Marlyna Draman pula, "Beliau sentiasa ke hadapan, beliau sentiasa mendahului tanpa ada alasan. Alangkah indahnya kalau semua billionaire, jutawan, YB yang bergaji puluhan ribu, bergabung dan melakukan perkara sama membantu mereka memerlukan. Insya-ALLAH dapat membela nasib orang yang susah".

Pada Selasa, Ebit Lew memuat naik posting di Facebook peribadinya berkongsi perjalanan dakwah dan misi bantuan ke Sabah dengan membawa 1,000 set makanan, 100 kerusi roda, 75,000 pelitup muka, 200 Samsung tablet bagi kegunaan pelajar yang benar-benar memerlukan.

Dalam perkongsian itu, beliau mengucapkan terima kasih dan terharu dengan kerjasama My Jet Xpress dan Zen Aviation menaja kapal untuk pasukannya.

"Semoga ALLAH tambah rezeki buat MyJet. Terima kasih Klia Kargo Airport yang beri free caj. Baik sangat semua.

"Saya hantar barang dulu. Flight saya dijadualkan lusa dengan MAS Airlines. Terima kasih tak terhingga juga Mas Airlines beri special rate buat team kami. Semoga menjadi asbab kebaikan," tulisnya menarik perhatian warga maya.

Sehingga Rabu, posting itu dihujani 15,000 komen, 252,000 tanda suka dan 18,000 perkongsian dari warga maya.