Cuma ijazah ADUN Tronoh tak ada MQA

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
A
A
A

TELUK INTAN - Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mempertahankan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa memiliki Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Akamai, Amerika Syarikat yang diragui.

Kata Kor Ming, isu yang ditimbulkan oleh Presiden MCA disifatkan sebagai ketandusan idea politik kerana Choo Kiong yang juga bendahari parti itu sememangnya memperoleh MBA secara sah menerusi lulus peperiksaan, cumanya ketika itu universiti berkenaan belum mendapat pengiktirafan secara rasmi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Datuk Seri Wee Ka Siong bankrap idea dan sebab itulah dia ungkitkan perkara yang tidak benar. Dia patut minta maaf apabila mengeluarkan tohmahan mengatakan ahli exco itu miliki ijazah sarjana palsu.

“Kita tahu banyak universiti tersohor di dunia ini termasuk dari Taiwan dan China yang memang berkelayakan, tapi tidak ada pengiktirafan daripada MQA,” katanya kepada Bernama.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang diadakan di perkarangan Menara Condong Teluk Intan di sini malam tadi.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, inisiatif menyambung belajar demi meningkatkan diri yang ditunjukkan Yong ketika itu sebagai ahli perniagaan sebelum beralih menjadi wakil rakyat adalah terpuji kerana beliau melakukannya ketika itu bukannya untuk kepentingan politik.

Sebelum ini, Choo Kiong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu antara beberapa nama pemimpin Pakatan Harapan terpalit isu dakwaan memiliki ijazah palsu. - Bernama

Artikel Berkaitan: