Kepadatan penduduk antara faktor kes Covid-19 tinggi di Selangor

Kes positif Covid-19 harian yang tinggi di Selangor sejak kebelakangan ini disebabkan beberapa faktor antaranya kepadatan penduduk terutamanya di kawasan bandar.
Kes positif Covid-19 harian yang tinggi di Selangor sejak kebelakangan ini disebabkan beberapa faktor antaranya kepadatan penduduk terutamanya di kawasan bandar.
A
A
A

SHAH ALAM - Kes positif Covid-19 harian yang tinggi di Selangor sejak kebelakangan ini disebabkan beberapa faktor antaranya kepadatan penduduk terutamanya di kawasan bandar, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata, jumlah kes positif Covid-19 harian yang tinggi itu pastinya menjadikan rakyat Selangor agak gusar serta sangat bimbang apabila ia mencecah sehingga empat angka dan masih belum turun ke dua angka sejak sebulan lepas.

Disebabkan itu menurutnya, seluruh penduduk di Selangor harus kekal berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pensanitasi.

“Apa yang dilakukan kerajaan negeri adalah memperbanyakkan ujian saringan terhadap masyarakat serta komuniti. Lebih 19,000 ujian telah dilaksanakan sejak jangkitan Covid-19 bermula (di Malaysia) dan kos ditanggung sepenuhnya oleh pentadbiran ini.

“Kami sasarkan 50,000 lagi ujian saringan akan dijalankan untuk membantu (Kementerian Kesihatan) mengenal pasti kes positif di Selangor,” katanya menerusi satu video dimuat naik di laman Facebooknya pada Rabu.

Beliau berkata, menerusi ujian saringan itu juga, kerajaan negeri berupaya membantu mengasingkan individu positif Covid-19 daripada menjangkiti orang lain selain menggalakkan mereka menjalani kuarantin kendiri.

Amirudin berkata, keadaan semasa jangkitan Covid-19 di Selangor adalah masih terkawal dan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di sembilan daerah di negeri ini untuk memberi maklum balas serta nasihat kepada individu positif.

“Menerusi anak syarikat kerajaan negeri iaitu Selgate Corporation dan SelCare, kami akan menambah perkhidmatan di CAC untuk memberi maklum balas lain kepada masyarakat supaya mereka tahu ia (penularan Covid-19) masih boleh dikawal menerusi aktiviti harian sendiri khususnya melalui program kuarantin kendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, dengan usaha dan ikhtiar dilakukan kerajaan negeri termasuk penyediaan bantuan untuk rakyat menerusi ‘Pakej Kita Selangor’, ia diharap akan mampu meringankan tugas semua pihak termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. - Bernama