Pastikan mahkamah bebas daripada unsur rasuah

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Rasuah merupakan satu tindakan dilakukan oleh si pemberi dan penerima lebih kepada kepentingan peribadi yang bukan hanya melibatkan material tetapi juga meliputi manfaat.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, rasuah biasa dilakukan seseorang atas motif dendam atau penipuan dan juga bagi mendapatkan pangkat atau darjat yang tidak sesuai dengan kelayakan.

“Biasanya rasuah berbentuk wang dalam institusi kehakiman diberikan kepada penguasa supaya mereka membuat keputusan mengikut kehendak si pemberi. Kebiasaannya keputusan dibuat akan mendatangkan keuntungan kepada si pemberi.

“Dalam bentuk manfaat pula sebagai contohnya menjanjikan akan menyegerakan urusan si pemberi sehinggakan menyebabkan urusan orang lain menjadi lambat atau terhenti atau bersaing di dalam perniagaan dengan menggunakan pengaruh orang lain sehingga pesaing terjejas secara tidak adil dan lain-lain.

“Walau apa jua tujuan rasuah diberikan, si pemberi atau penerima harus sedar dan tahu kesalahan rasuah merupakan satu dosa besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selaku Ketua Hakim Syarie di negeri ini, beliau tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati kakitangan dan pegawainya ada terlibat dalam kegiatan ini.

“Saya tidak akan sesekali memberi muka kepada ‘anak buah’ yang didapati terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini kerana sekiranya jika dibiarkan dalam institusi kehakiman, akan memberi impak buruk kepada semua, baik kepada kerajaan, bangsa dan agama Islam khususnya.

“Kita semua sedia maklum bahawa mahkamah merupakan salah satu tempat yang dihormati dan dipercayai semua lapisan masyarakat, disebabkan itulah apa jua keputusan dibuat di sini ( mahkamah), mereka akan terima seadanya tanpa rungutan kerana yakin kepada pegawai yang dipertanggungjawabkan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, sudah menjadi tanggungjawab utama saya pastikan kegiatan yang dilaknat agama ini tidak akan menembusi ke dalam mahkamah,” katanya.