'Pengikut' Brenton Tarrant ditahan di bawah ISA

Remaja terbabit membuat rancangan serangan terperinci sama seperti dilancarkan Tarrant ke atas Masjid Al Noor di Christchurch pada 17 Mac 2019. - Foto Agensi
Remaja terbabit membuat rancangan serangan terperinci sama seperti dilancarkan Tarrant ke atas Masjid Al Noor di Christchurch pada 17 Mac 2019. - Foto Agensi
A
A
A

SINGAPURA - Seorang remaja berusia 16 tahun di Singapura ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang untuk menyerang dua masjid ketika ulang tahun kedua memperingati insiden serangan ganas di Christchurch, New Zealand, 15 Mac depan.

Suspek yang merupakan penganut Kristian Protestan berketurunan India, menjadi individu paling muda ditahan di bawah ISA kerana aktiviti berkaitan keganasan itu, dipercayai terpengaruh dengan Islamofobia dan ideologi ekstremis berhaluan kanan warga Australia, Brenton Tarrant yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Rabu memaklumkan pelajar sekolah menengah itu membuat rancangan dan persiapan secara terperinci untuk melancarkan serangan ganas menggunakan sebilah parang terhadap jemaah di Masjid Assyafaah di Sembawang dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands yang berhampiran rumahnya.

"Dia turut membeli ves perlindungan dan berhasrat untuk mendapatkan parang di laman Carousell dan mahu serangan itu disiarkan secara live-streaming. Remaja yang sudah terpesong dengan fahaman radikal itu menunjukkan minat terhadap keganasan dan membaca manifesto Tarrant.

"Dia juga menonton video propaganda Daesh. Rancangan serangannya jelas dipengaruhi tindakan dan manifesto Tarrant," jelas ISD lagi.

Difahamkan, remaja itu juga sudah melakukan pencarian secara dalam talian tentang kedua-dua masjid yang menjadi sasarannya dan membuat beberapa pilihan senjata sebelum memutuskan untuk menggunakan sebilah parang walaupun rancangan asalnya adalah untuk mendapatkan raifal seperti digunakan Tarrant.

Hasil siasatan mendapati keluarga dan rakannya tidak tahu-menahu tentang rancangan serangan ganas tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: