X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 24 Oktober 2021

Aset ATM berada di tahap memuaskan: Affendi

Affendi
A
A

KUALA LUMPUR - Aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini berada di tahap kesiagaan yang memuaskan, kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata, ia dapat dibuktikan dengan penglibatan ATM dan penggunaan asetnya secara berterusan bagi melaksanakan tugas hakiki seperti rondaan, pemantauan, pengumpulan maklumat dan tugas-tugas sokongan.

“Aset-aset diatur gerak untuk penugasan seperti Operasi Benteng (Op Benteng) dan Operasi Penawar tanpa henti termasuk penerbangan sokongan dan pengoperasian Hospital Medan sepanjang menguruskan pandemik Covid-19 ini.

“Selain itu, rancangan perolehan aset dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) telah diluluskan Kementerian Pertahanan dan dengan perolehan aset-aset ini, tahap kesiagaan akan dipertingkatkan sekali gus dapat menyumbang kepada kejayaan operasi yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam perutusan khas sempena tahun baharu 2021 di laman rasmi Facebook ATM pada Rabu.

Dalam pada itu, Affendi berkata, penubuhan Bahagian Siber dan Elektromagnetik ATM pada tahun lepas bakal melengkapkan keupayaan domain peperangan siber dan elektromagnetik negara.

“Keupayaan ini akan terus diperkasakan agar ATM berupaya menangani sebarang ancaman siber kerana kita berada dalam dunia tanpa sempadan dan di persada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang amat bergantung kepada kelangsungan beroperasi dalam domain siber,” katanya.

Affendi juga berharap ATM menjadikan perubahan teknologi yang pesat dan IR4.0 yang diuar-uarkan sejak 2011 sebagai petanda aras untuk menjadi warga ATM yang mahir teknologi sekali gus mampu mengoperasikan segala peralatan dan sistem dengan lebih efisyen.

"Pada masa sama, mereka juga mampu menghasilkan sendiri program atau perisian yang diperlukan tanpa perlu bergantung kepada pihak luar,” katanya.

Sementara itu, Affendi mengingatkan warga ATM agar pembudayaan normal baharu dan prosedur operasi standard (SOP) terus dipatuhi meskipun vaksin bagi Covid-19 akan diperoleh seawal Februari ini.

“ATM perlu memperkukuh dan memperkemaskan pelaksanaan Op Benteng bagi menghalang pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara kerana dikhuatiri risiko penyebaran semula virus boleh berlaku yang akan menggagalkan usaha kerajaan untuk menghentikan pandemik ini,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!