Laut China Selatan terus bergolak

A
A
A

TEMPOH minggu pertama selepas Joe Biden mengangkat sumpah Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 menyaksikan Laut China Selatan terus bergolak. Kehadiran Biden di Rumah Putih telah ‘disambut’ dengan serta-merta oleh pesaing terdekat AS iaitu China.

Pada 23 Januari, badan penggubal undang-undang tertinggi China iaitu Jawatankuasa Kongres Rakyat telah meluluskan Undang-Undang Pengawal Pantai China yang cukup kontroversi dan bakal memberi impak kepada kepentingan strategik AS dan negara-negara Asia Tenggara termasuklah kita di Malaysia.

Undang-undang itu memberi kebenaran kepada kapal-kapal pengawal pantai China untuk menembak mana-mana kapal asing yang dianggap ‘menceroboh’ wilayah perairan yang didakwa sebagai berada di bawah kedaulatan China. Untuk rekod, China menerusi Peta ‘Nine Dash Lines’ yang diterbitkan pada 2009 mendakwa 80 peratus Laut China Selatan sebagai wilayah mereka.

Malah, undang-undang terbaharu itu juga membenarkan anggota Pengawal Pantai China untuk merobohkan sebarang struktur binaan di atas terumbu yang berada dalam wilayah yang didakwa sebagai milik China selain memeriksa kapal-kapal asing.

Undang-Undang Pengawal Pantai China itu juga memberi autoriti untuk mewujudkan �zon pengasingan’ bagi menghalang kapal-kapal asing daripada memasuki wilayah yang didakwa sebagai milik China secara unilateral.

Bagi kita di Malaysia, tindakan China bakal memberi implikasi jangka panjang kerana secara jelas Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sejak sekian lama bukan sahaja diceroboh China, malah turut dijadikan sebagai medan latihan Tentera Laut Republik Rakyat China.

Antara lokasi perlu dipantau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) adalah lokasi yang sering menjadi fokus China sejak 2013 iaitu Beting Serupai, Beting Patinggi Ali, dan juga Beting Raja Jarum.

Dengan ketibaan Biden di Rumah Putih, AS tentulah tidak sekadar berdiam diri dengan ‘hadiah sambutan pertabalan Presiden’ dari China itu. Sebagai tindak balas, 24 jam selepas China meluluskan undang-undang yang jelas bersifat imperialis itu, AS telah mengerahkan kapal pengangkut pesawatnya, CVN-71 USS Theodore Roosevelt ke Laut China Selatan.

Artikel Berkaitan:

Belum sempat keadaan reda, Taiwan pula mendedahkan bahawa China telah melakukan pencerobohan pesawat udara mereka secara besar-besaran selama dua hari berturut-turut dalam Zon Identifikasi Pertahanan Udara (ADIZ).

Jika pada hari pertama pencerobohan, sebanyak 13 pesawat tentera China yang menceroboh ADIZ Taiwan terdiri daripada lapan buah pesawat pengebom strategik H-6K, sebuah antikapal selam perang Y-8 ASW dan empat buat pesawat J-16. Pencerobohan pada hari kedua pula dilakukan oleh 15 buah pesawat tentera China iaitu enam buah pesawat pejuang J-10, empat buah pesawat J-16, dua buah Sukhoi SU-30, dua buah pesawat Y-8 ASW dan sebuah pesawat peninjau Y-8.

Pendedahan Taiwan itu sebaliknya tidak mengendurkan aspirasi China. Susulan tindakan AS mengerah kapal pengangkut pesawat CVN-71 USS Theodore Roosevelt ke Laut China Selatan, China telah mengisytiharkan bahawa mereka akan mengadakan latihan ketenteraan di Laut China Selatan dari 27 Januari hingga 30 Januari.

Kemuncaknya, pada 25 Januari, Presiden China, Xi Jinping telah memberi amaran ‘Perang Dingin baru’ ketika membuat kemunculan semula di Forum Ekonomi Dunia di Davos secara dalam talian sejak kali terakhir muncul pada tahun 2017.

Jelas, tugas berat menanti Biden di Laut China Selatan untuk tempoh empat tahun pentadbiran beliau nanti.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda