X

Kindly register in order to view this article
!

Polemik 'Istana Putin' calar imej Presiden Rusia

Gambar menunjukkan sebuah istana yang didakwa sebagai milik Presiden Rsuia, Vladimir Putin dekat bandar Gelendzhik, selatan Rusia. - Foto: Alexei Navalny/YouTube
A
A

SATU rakaman video yang disiarkan di saluran YouTube ketika pemimpin pembangkang Rusia, Alexei Navalny dipenjarakan sejurus selepas beliau kembali pulang dari Jerman baru-baru ini menuduh Presiden negara itu, Vladimir Putin diberikan hadiah sebuah istana mewah.

Video itu yang berdurasi selama dua jam itu disiarkan oleh pasukan siasatan Navalny dan telah mendapat tontonan lebih 91 juta kali dan dirakamkan dengan menggunakan dron imej tiga dimensi (3D).

Sebelum ini, pemimpin pembangkang Rusia itu yang juga pengasas Yayasan Antirasuah (FBK) diracun dengan agen saraf Novichok bertujuan untuk membunuhnya ketika beliau berada di dalam sebuah pesawat di Siberia dan dirawat di Jerman selepas dipindahkan dari sebuah hospital di Rusia pada Ogos tahun lalu.

Pihak berkuasa kemudian menangkapnya pada 17 Januari lalu di lapangan terbang Moscow sekali gus menyebabkan ribuan penyokongnya melakukan tunjuk perasaan di beberapa buah bandar bagi menuntut pembebasannya.

Navalny, 44, ditangkap dan akan dibicarakan pada bulan depan setelah didakwa melanggar peraturan kerana tidak melaporkan diri kepada pihak perkhidmatan penjara setelah menerima penangguhan hukuman penjara lebih tiga tahun kerana didapati bersalah melakukan penyelewengan dan pengubahan wang haram pada tahun 2014.

Beliau sebelum ini mendakwa ejen-ejen Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) cuba untuk membunuhnya dengan menggunakan racun tersebut tetapi dinafikan oleh Putin.

Pemimpin pembangkang itu terkenal di Rusia kerana laporan-laporan tentang isu rasuah yang didakwanya berlaku ketika negaranya ditadbir oleh kerajaan Putin.

Dakwaan yang dibuat oleh Navalny bahawa Putin, 68, ialah pemilik sebuah istana mewah yang terletak dekat bandar Gelendzhik, selatan Rusia yang berharga AS$1.5 bilion (RM6.07 bilion).

Ia mempunyai keluasan 17,700 meter persegi dan dilengkapi dengan sebuah gereja, ladang anggur, gelanggang hoki ais bawah tanah, sebuah kasino peribadi dan dilaporkan bot-bot dilarang mendekati kawasan tepi pantai Laut Hitam yang menempatkan istana tersebut.

Pemimpin pembangkang Rusia, Alexei Navalny mendedahkan sebuah istana mewah yang dikatakan milik Presiden Rusia, Vladimir Putin baru-baru ini. - Foto AFP
Pemimpin pembangkang Rusia, Alexei Navalny mendedahkan sebuah istana mewah yang dikatakan milik Presiden Rusia, Vladimir Putin baru-baru ini. - Foto AFP

Zon larangan terbang juga dilaksanakan di ruang udara istana itu dan menurut pelan perancangan, ia mempunyai perabot seperti kerusi yang bernilai beribu-ribu dolar dan berus tandas buatan Itali berharga AS$851 (RM3,442) setiap satu.

Menurut pasukan siasatan Navalny, pembinaan istana itu dibiayai oleh syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan golongan dalaman dan rapat dengan Putin sekali gus menganggap ia adalah rasuah terbesar di dalam dunia.

Pengkritik-pengkritik Putin, menurut AFP, menuding jari ke arah ketua Rosneft iaitu syarikat minyak gergasi Rusia, Igor Sechin dan ahli perniagaan yang dikenakan sekatan perjalanan oleh pihak Barat, Yuri Kovalchuk terlibat dalam pembinaan istana berkenaan.

Dana untuk membina istana itu didakwa diperoleh melalui kontrak-kontrak yang melibatkan syarikat milik kerajaan termasuk firma saluran paip Transneft yang dikendalikan oleh Nikolai Tokarev.

Menurut siasatan pasukan Navalny itu, Tokarev merupakan seorang pegawai Jawatankuasa Keselamatan Negara atau lebih dikenali sebagai KGB yang didakwa pernah bekerja bersama Putin di Jerman Timur.

Pada tahun 2010, seorang ahli perniagaan, Sergei Kolesnikov telah membongkar tentang kompleks mewah itu dengan mendakwa beliau diminta oleh sekutu rapat Putin memindahkan sumbangan melalui syarikatnya ke dalam sebuah dana yang akan digunakan bagi membaik pulih hospital-hospital tetapi digunakan untuk membiayai pembinaan istana tersebut.

Ahli perniagaan itu kemudian meninggalkan Rusia sebelum mendedahkan satu dokumen tentang istana tersebut dan surat terbuka kepada Presiden negara tersebut ketika itu, Dmitry Medvedev bagi mendesaknya menyiasat kes berkenaan.

Vladimir Putin
Vladimir Putin

Bagaimanapun, pihak berkuasa menolak dakwaan Kolesnikov itu dan inisiatifnya itu gagal menarik perhatian.

Menurut FBK, seorang sub-kontraktor yang terlibat dengan pembinaan istana itu menyerahkan pelan terperinci istana tersebut bersama dengan senarai perabot yang akan dibeli dan sampel corak lantai.

Kumpulan tersebut menggunakan dokumen dan gambar yang diperoleh itu untuk mencipta imej 3D ruang dalam istana berkenaan yang dikatakan mempunyai 11 buah bilik tidur.

Istana itu direka oleh seorang arkitek Itali, Lanfranco Cirillo yang telah diberikan kerakyatan Rusia oleh Putin dan ia dikatakan dilengkapi dengan kemudahan dua tempat pendaratan helikopter, terowong khas menuju ke pantai dan berfungsi sebagai kubu bawah tanah serta ruang khas ke tebing laut.

Namun, Putin menafikan beliau ialah pemilik istana tersebut dan jurucakapnya, Dmitry Peskov berkata pada Selasa bahawa Moscow mengetahui pemilik kediaman mewah tersebut tetapi beliau tidak mempunyai hak untuk mendedahkan namanya. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!