Korban bangunan runtuh di Turki meningkat 21 orang

Presiden Erdogan membawa keranda salah seorang daripada sembilan beranak yang maut dalam runtuhan bangunan itu.
A
A

ANKARA - TURKI. Angka korban bangunan apartment runtuh di Istanbul meningkat kepada 21 orang semalam, ketika Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata pihak berkuasa 'perlu belajar' daripada kejadian tersebut.

Bangunan lapan tingkat di daerah Kartal yang terletak di sebelah Asia bandar itu runtuh pada Rabu.

Punca kejadian masih belum dipastikan.

Erdogan, melawat tempat tragedi semalam berkata: “Kita ada banyak pengajaran yang perlu diambil daripada kejadian ini. Kita akan mengambil langkah perlu.”

Sementera itu, Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu memberitahu wartawan bahawa pihaknya menjangkakan terdapat 35 orang yang terperangkap di bawah runtuhan dan usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan, sambil menegaskan operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan.

Pihak berkuasa berkata 43 orang didaftarkan sebagai penghuni bangunan itu.

Media Turki melaporkan tiga daripada lapan tingkat bangunan itu dibina secara haram iaitu amalan biasa dalam kota berpenduduk sekitar 15 juta orang itu.

Runtuhan itu membangkitkan kembali kritikan kepada kerajaan untuk mengampunkan mereka yang dituduh membina bangunan secara haram- langkah diumumkan menjelang pilihan raya daerah Mac ini.

Jurutera dan arkitek berulang kali memberi amaran risiko bahaya tingkat tambahan yang dibina, kata mereka ia melemahkan struktur bangunan dan mendatangkan bahaya besar ketika gempa bumi.

Sebuah bangunan empat tingkat runtuh di Istanbul tahun lepas selepas ribut kencang.

Pada Januari 2017, dua maut apabila sebuah bangunan di kawasan kejiranan kelas pekerja kota raya itu runtuh. – AFP