PDRM kenal pasti lima fasiliti

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti lima fasiliti yang diperlukan bagi sewaan jangka pendek untuk dijadikan Pusat Tahanan Sementara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, urusan penyewaan fasiliti itu akan dilaksanakan secepat mungkin, namun setakat ini lokasinya masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, PDRM masih berunding mengenai nilai sewaan pusat tahanan berkenaan, dengan proses rundingan diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Datuk Zaini Jass.

Menurutnya, aspek keselamatan akan diambil kira di fasiliti itu, termasuk pemasangan kawat berduri di sekitar kawasan terlibat, sebelum fasiliti berkenaan digunakan sepenuhnya.

Mengulas mengenai penugasan di pusat tahanan berkenaan kelak, beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan keanggotaan dari daerah lain sekiranya diperlukan untuk ditempatkan di pusat berkenaan.

"Selain itu, Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Simpanan Persekutuan juga akan dikerahkan untuk penugasan di pusat berkenaan jika perlu,” katanya pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, kem Pusat Latihan Khidmat Negara, Kem Bina Negara dan kemudahan lain yang bersesuaian akan dijadikan sebagai kemudahan tahanan sementara serta Depot Tahanan Sementara bagi kegunaan Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan PDRM secara sewaan bertujuan menjamin penjarakan fizikal.

Kenyataan itu juga memaklumkan fasiliti berkenaan akan menempatkan banduan dan tahanan yang disabitkan dengan kesalahan ringan. - Bernama

Artikel Berkaitan: