Wanita warga emas sogok polis bebaskan ahli sindiket rokok, arak

Antara kenderaan yang dirampas dalam serbuan Op Kontraban di Pulau Pinang pada Selasa.
Antara kenderaan yang dirampas dalam serbuan Op Kontraban di Pulau Pinang pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas diberkas selepas cuba menyogok polis dengan tawaran wang tunai RM28,150 untuk membebaskan ahli sindiket penyeludupan rokok dan arak yang diberkas dalam serbuan di sekitar Pulau Pinang, pada Selasa.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam (JKDNKA), Datuk Azri Ahmad berkata, wanita tempatan berusia 63 tahun itu ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, cubaan sogokan itu dilakukan suspek kerana mahu polis membebaskan enam lelaki yang ditahan pada hari kejadian.

"Dalam Op Kontraban di Barat Daya dan Seberang Perai Tengah itu, enam suspek lelaki berusia lingkungan 27 hingga 67 tahun telah diberkas.

"Polis telah merampas sebanyak 184,800 batang rokok kretek tidak bercukai bernilai RM151,536 dan 1,632 tin bir tidak bercukai bernilai RM10,883 selain enam kereta bernilai RM40,000 serta wang tunai RM218,187 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM448,756,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, polis percaya sindiket terbabit aktif di sekitar Pulau Pinang.

Azri berkata, tiga suspek lelaki itu kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah manakala tiga lagi suspek di lokap IPD Barat Daya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan: