3,680 lagi positif Covid-19, 7 kematian direkodkan

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 3,680 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu di dalam negara mencecah 194,114 dengan 42,389 kes aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu hari ini, 3,674 kes merupakan kes tempatan dan enam lagi kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Negeri Johor merekodkan kes tertinggi iaitu 1,069 kes diikuti Selangor (822 kes), Kuala Lumpur (698 kes) dan Sabah dengan 295 kes,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan situasi Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 1,858 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh daripada Covid-19 sebanyak 151,018 kes.

Menurutnya, tujuh lagi kematian direkodkan hari ini yang kesemuanya melibatkan warganegara menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia akibat pandemik itu setakat ini sebanyak 707.

Dalam pada itu katanya sebanyak 314 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 122 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Artikel Berkaitan:

Memperincikan lanjut mengenai pecahan kes mengikut negeri, Dr Noor Hisham memberitahu Perak mencatatkan 181 kes, Negeri Sembilan (112 kes), Pulau Pinang (101 kes), Kedah (76 kes), Sarawak (70 kes), Terengganu (68 kes), Melaka (63 kes), Kelantan (60 kes), Pahang (42 kes), Putrajaya (19 kes), Perlis (tiga kes) dan Labuan (satu kes).

Mengulas lanjut katanya, 17 kluster lagi dikesan hari ini dengan kluster tempat kerja masih menjadi penyumbang utama iaitu 15 kluster manakala dua kluster lagi ialah kluster komuniti.

“Kes baharu tertinggi pada hari ini adalah daripada Kluster Parit Lanjut di Johor (521 kes), Kluster Tapak Bina Persiaran Tecoma di Kuala Lumpur (157 kes), dan Kluster Industri Grisek juga di Johor dengan 144 kes),” katanya.

Katanya, kluster tempat kerja yang lain melibatkan Kluster Jalan Trus, Kluster Jalan Medini, Kluster Tengah Tiga dan Kluster Pengerang Utara yang kesemuanya di Johor.

Kluster lain yang juga melibatkan tempat kerja ialah Kluster Jalan Danau, Kluster Jalan Yahya, Kluster Jalan Pudu kesemuanya di Kuala Lumpur.

Tiga kluster melibatkan tempat kerja juga muncul di Selangor iaitu Kluster Jalan Mutiara Selangor, Kluster Tapak Bina Tanjung dan Kluster Persiaran Perkilangan, manakala satu kluster dikesan di Sabah iaitu Kluster Sulaman serta Kluster Jalan Seri di Perak.

Dua kluster yang melibatkan komuniti pula ialah Kluster Bendayan di Sarawak dan Kluster Jalan Pengkalan di Perak. - Bernama