KPPK ingatkan majikan laksana SOP lebih tegas

Kenyataan akhbar oleh Mohd Khairuddin Aman Razali pada Selasa.
Kenyataan akhbar oleh Mohd Khairuddin Aman Razali pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengingatkan majikan di sektor agrikomoditi agar memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih tegas bagi membendung penularan Covid-19 kawasan industri.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, antara SOP ditetapkan KPPK dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang perlu diikuti majikan antaranya adalah mengehadkan bilangan pekerja ke ladang dan kilang.

Menurutnya, pekerja yang hadir bertugas di kawasan tersebut perlu memastikan mereka tidak berkumpul di ruang sempit selain mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter pada setiap masa.

“Bukan sekadar itu, majikan juga perlu mengingatkan pekerja supaya sentiasa mematuhi semua SOP dan peraturan yang ditetapkan setelah pulang bekerja bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat pula.

“Selain itu, majikan turut diingatkan supaya mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446).

“Pematuhan kepada Akta 446 adalah selaras dengan inisiatif keempat Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu ‘Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Khairuddin berkata, pematuhan terhadap Akta 446 penting bagi memastikan pekerja mempunyai tempat kediaman yang bersih dan kondusif serta mengelakkan kesesakan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.

Bagi memastikan semua SOP dipatuhi sepenuhnya, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, majikan sektor agrikomoditi perlulah merujuk kepada SOP sektor agrikomoditi yang telah disediakan dan dikemaskini oleh KPPK.

Artikel Berkaitan:

Katanya, SOP sektor agrikomoditi yang telah dikemaskini dan diwartakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada 15 Januari 2021 boleh dirujuk di laman web KPPK melalui pautan https://www.mpic.gov.my/mpi/pkp/pkp-2-0.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin turut memaklumkan bahawa KPPK mengalu-alukan langkah yang diambil kerajaan negeri Sabah yang mengarahkan syarikat perladangan untuk melakukan ujian saringan ke atas semua pekerja dalam tempoh 30 hari.

Pada 25 Januari lalu, kerajaan negeri Sabah telah mengarahkan seramai 153,250 pekerja daripada 1,160 estet dan 33,034 ladang pekebun kecil sawit menjalani ujian saringan Covid-19 bermula Isnin.