X

Kindly register in order to view this article
!

Premis naik harga gajet, komputer riba

Pemeriksaan dilakukan oleh penguatkuasa KPDNHEP di beberapa premis menjual barangan elektronik sekitar Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Lima pemilik premis disyaki menaikkan harga alat peranti elektronik diberi notis oleh Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah dalam Ops Catut 8.0 di sekitar daerah ini pada Selasa.

Antara peralatan elektronik yang disyaki dijual dengan harga tinggi adalah komputer riba, alat pencetak, telefon bimbit dan tablet.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, kenaikan harga alat elektronik itu berlaku selepas mendapat permintaan tinggi di pasaran berikutan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sedang dilaksanakan.

Menurutnya, dalam operasi itu sebanyak lima premis perniagaan menjual peralatan elektronik diperiksa.

"Pemeriksaan dijalankan terhadap premis perniagaan yang menjual peralatan elektronik seperti set komputer, komputer riba, mesin pencetak dan telefon bimbit kerana mendapati bekalan peralatan elektronik berkenaan mencatatkan jualan tinggi terutama mesin pencetak dan komputer riba.

"Hasil pemeriksaan, kita mengeluarkan lima notis kepada peniaga peralatan elektronik kerana disyaki menaikkan harga," katanya pada Rabu.

Georgie berkata, notis yang dikeluarkan kepada peniaga itu untuk mendapatkan perincian harga jualan dan harga kos barangan berkaitan.

Lima notis dikeluarkan kepada peniaga peralatan elektronik kerana disyaki menaikkan harga.
Lima notis dikeluarkan kepada peniaga peralatan elektronik kerana disyaki menaikkan harga.

"Ia bagi tujuan siasatan lanjut sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau sebaliknya.

"Peniaga terbabit diberikan tempoh dua hari untuk membekalkan maklumat yang diarahkan kepada KPDNHEP," katanya.

Terdahulu, Ops Catut 8.0 itu dijalankan sehingga 8 Februari ini bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pelaksanaan PdPR untuk sesi persekolahan yang bermula 20 Januari lalu.

Georgie berkata, semua peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga peralatan elektronik secara tidak berpatutan.

"Jika didapati berlaku pengambilan untung berlebihan, tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 akan diambil terhadap peniaga yang terbabit.

"Pesalah di bawah akta ini boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah akta ini dan selanjutnya boleh didenda tidak melebihi RM500,000," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!