Kerajaan salur RM2.55 bilion kepada PKS mikro

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM2.55 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro melalui program Geran Khas Prihatin (GKP) dan GPK 2.0.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi GKP 2.0 di bawah pakej Kita Prihatin, proses semakan permohonan baharu dan rayuan sedang melalui proses semak silang antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihak berkuasa tempatan dan keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Tarikh pembayaran disasarkan dibuat pada Mac 2021, Insya-ALLAH," katanya.

Tengku Zafrul berkata, dengan GKP Permai (Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia) jumlah keseluruhan yang telah atau akan disalurkan kepada rakyat adalah berjumlah RM3.35 bilion.

Menurutnya, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) di hampir seluruh negara kecuali Sarawak, GKP Permai akan menerima suntikan tambahan RM150 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM800 juta.

"Bagi PKS mikro yang telah pun menerima GKP sebelum ini, mereka tidak perlu mendaftar semula dan bantuan RM1,000 akan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka.

"Soalan-solan lazim mengenai GKP Permai ini boleh didapati di pautan LHDN di https://gkp.hasil.gov.my/," katanya semasa membentangkan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-38, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, program kemahiran dan peningkatan kemahiran di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) mencatat peningkatan kepada 134,179 individu daripada 134,137 individu pada minggu sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Individu yang berminat untuk mengikuti kursus berkaitan boleh melayari laman sesawang kementerian dan agensi yang terlibat antaranya Pembangunan Sumber Manusia Bhd, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, MARA, East Coast Economic Region Development Council (ECER), Northen Corridor Implementation Authority (NCIA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Kementerian Pelajaran Tinggi.

Sementara itu, katanya, dana RM100 juta bagi Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS) khusus bagi PKS Mikro telah mencapai matlamatnya untuk melonjakkan perniagaan dengan memanfaatkan 14,946 PKS Mikro.

Pada masa yang sama, masih terdapat inisiatif pembiayaan yang tersedia di bawah matlamat ini termasuk Pembiayaan PKS Penjana bernilai RM2 bilion serta Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana bernilai RM1 bilion, juga untuk PKS dan PKS mikro.

Setakat 15 Jan, 2021, katanya, pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) telah memanfaatkan 9,652 PKS Mikro dengan peruntukan sebanyak RM328.1 juta.

Bumiputera Relief Financing (BRF) yang diperkenalkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd dengan dana RM200 juta juga telah menyalurkan sebanyak RM118.8 juta kepada 437 PKS berbanding 389 PKS dengan jumlah RM105.6 juta pada minggu sebelumnya.

Mengenai Sokongan Penggunaan Teknikal dan Digital bagi PKS dan Syarikat di Peringkat Pertengahan (MTC) setakat ini sebanyak RM23.4 juta telah disalurkan kepada 5,941 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi.

Sementara itu, bagi matlamat Penjana untuk merangsang ekonomi, kerajaan juga menyokong industri pertanian dan makanan dengan peruntukan RM400 juta kepada golongan petani, peladang dan penternak.

Di bawah skim ini, sebanyak RM74.5 juta telah disalurkan kepada 7,012 PKS mikro pertanian, berbanding RM71.3 juta kepada 6,748 PKS mikro pertanian pada minggu sebelumnya.

“Matlamat merangsang ekonomi ini turut merangkumi inisiatif-inisiatif yang masih berterusan, antaranya pengecualian cukai perkhidmatan bagi hotel sehingga 30 Jun, 2021 untuk membantu pengusaha sektor pelancongan, serta pelepasan cukai jualan bagi kenderaan penumpang bagi merancakkan sektor automotif negara,” katanya.

Selain itu, subsidi pengangkutan awam My30 juga dilanjutkan ke tahun ini dengan sejumlah 751,414 pas bulanan perjalanan tanpa had telah dijual yang melibatkan subsidi sebanyak RM127.74 juta sehingga 15 Jan, 2021.

“Saya juga dimaklumkan bahawa kerajaan sedang mempromosikan pas My30 ini dengan inisiatif ‘beli satu percuma satu’ sehingga Mac depan,” katanya. - Bernama