X

Kindly register in order to view this article
!

Amaran KPDNHEP peniaga usah naikkan harga barang elektronik

KPDNHEP Kuala Lumpur menjalankan Ops Catut 8.0 di seluruh ibu negara bagi memantau isu kenaikan harga barangan elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba.
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur memberi amaran kepada peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikan harga kelengkapan barangan elektronik komunikasi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Zubir Hamsa berkata, pihaknya telah melaksanakan Ops Catut 8.0 di seluruh ibu negara sejak Isnin lalu.

Menurutnya, pemeriksaan telah dijalankan di premis menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi seperti mesin pencetak, telefon bimbit, komputer riba dan tablet.

"Sejak dua hari pelaksanaan Ops Catut 8.0, kita telah mengeluarkan lapan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bertujuan bagi peniaga terbabit membekalkan maklumat perincian harga jualan dan harga kos barangan untuk siasatan lanjut.

"Selain itu, tindakan pemeriksaan yang dilakukan bertujuan bagi memantau dan memastikan harga tidak dinaikkan sewenang-wenangnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sekiranya siasatan mendapati peniaga menaikkan harga secara tidak munasabah, tindakan tegas boleh diambil di bawah Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, sehubungan dengan itu, pihaknya menyeru dan mengingatkan semua peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.

"Para peniaga juga dinasihatkan untuk mengamalkan perniagaan yang beretika.

"KPDNHEP Kuala Lumpur akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang berpatutan. Para pengguna juga dinasihatkan supaya membeli barangan secara berhemah, membuat pemilihan yang bijak, bandingkan harga sebelum membuat pembelian," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!