Negeri Sembilan tangguh pembinaan menara pemancar telekomunikasi

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan berdepan dengan beberapa bantahan daripada penduduk yang enggan membenarkan menara pemancar telekomunikasi dibina berhampiran kawasan perumahan mereka.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, susulan itu kerajaan negeri terpaksa menangguhkan pembinaan menara itu di beberapa kawasan di negeri ini.

"Sehingga kini kerajaan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menerima beberapa bantahan daripada penduduk yang enggan menara telekomunikasi dibina di kawasan perumahan mereka.

"Alasan mereka pembinaan dekat dengan rumah dan bimbang ada radiasi walaupun pihak bertanggungjawab sebenarnya telah mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Menurutnya, pembinaan menara itu juga mengikut SOP termasuk dibina dengan jarak melebihi 30 meter dari kawasan kediaman penduduk.

"Penduduk perlu akur kerana ia dilakukan demi kepentingan masyarakat yang memerlukan liputan komunikasi lebih baik selain tidak mahu negeri ini tertinggal dari segi liputan komunikasi.

"Kerajaan negeri optimis untuk meningkatkan capaian liputan komunikasi di seluruh kawasan di negeri dan sehingga kini lebih 70 menara telekomunikasi akan dibina di kawasan luar bandar manakala di bandar pula ia akan terus dibina dari masa ke masa mengikut keperluan termasuk berhubung peningkatan bilangan penduduk," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri terbuka menerima sebarang cadangan bagi membangunkan kawasan yang sebelum ini merupakan projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) di Gemas,Tampin.

Artikel Berkaitan:

"Kita terbuka apa-apa juga cadangan jika ada pihak yang ingin usahakan projek lembu dalam skala besar kita terima," katanya.