Keputusan permohonan Najib gugur Sri Ram 15 Februari ini

Najib dan Gopal Sri Ram
Najib dan Gopal Sri Ram
A
A
A

KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kesnya yang didakwa meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini akan diketahui 15 Februari depan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib selaku pemohon dan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Ketika sesi penghujahan balas bagi pendengaran permohonan kes itu, Ahmad Akram selaku responden berkata, dakwaan bahawa Sri Ram terlibat dalam siasatan kes Najib dalam pertuduhan meminda laporan audit 1MDB, adalah tidak berasas.

Katanya, pemohon gagal menunjukkan bukti bahawa Sri Ram terlibat dalam kes tersebut sedangkan peguam senior itu adalah seorang yang profesional, bertindak dalam bidang kuasanya selaku pendakwa raya dan tidak mencampuri urusan siasatan kes membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

“Sri Ram sama seperti timbalan pendakwa raya lain yang mengendalikan kes, beliau hanya berpandukan kepada kertas siasatan yang diberi,” katanya.

Bagaimanapun, ketika penghujahan semula, Muhammad Shafee berkata, Sri Ram tidak boleh terlibat dalam kes ini dan ia perlu diganti dengan timbalan pendakwa raya lain.

Ini kerana katanya, pelantikan Sri Ram dalam pasukan pendakwaan menimbulkan konflik kepentingan dan berat sebelah.

“Ini kerana bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang berusia 71 tahun itu dikatakan mempengaruhi bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Apandi Ali untuk mendakwa Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, surat lantikan yang dikeluarkan kepada Sri Ram menimbulkan keraguan kerana Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah, bersandarkan melantik beliau sebenarnya diguna pakai untuk lantikan pendakwa raya secara tetap bukan secara `Ad Hoc',” katanya

Pada 12 Jun 2020, Najib, 68, mengemukakan permohonan untuk menggugurkan Sri Ram dengan disokong oleh dua afidavit yang difailkan oleh Najib dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Dalam permohonannya, Najib memohon diisytiharkan bahawa wujud konflik kepentingan antara pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di bawah Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah dan juga menjadi Peguam Bela dan Peguam Cara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Beliau juga memohon diisytiharkan Sri Ram telah bertindak dan/atau terus bertindak dalam konflik kepentingan berdasarkan pelantikannya sebagai TPR kanan telah mempamerkan sikap berat sebelah dan mala fide, inter alia, dengan membuat andaian dan menentukan lebih awal bahawa pemohon bersalah malah sebelum beliau secara rasmi didakwa di mana-mana mahkamah atau sebarang perintah atau relief yang mahkamah mungkin dapati sesuai dan betul dalam keadaan itu.

Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya, manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.