X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan peruntuk RM20.7 bilion bagi Program Subsidi Upah

Tengku Zafrul - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Program Subsidi Upah (PSU) yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi tahun 2020 dan 2021 secara keseluruhannya bernilai RM20.7 bilion.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan bagi tahun 2021, peruntukan terkini PSU ialah RM3 bilion.

"Dengan perluasan skop untuk semua syarikat terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PSU 3.0 akan menerima penambahan peruntukan RM500 juta lagi, menjadikan jumlahnya sebanyak RM1.5 bilion di bawah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

"Ini adalah penambahan kepada RM1.5 bilion yang diumumkan semasa Belanjawan 2021," kata Tengku Zafrul dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-38 pada Rabu.

Selain daripada RM3 bilion di bawah PSU 2021, kerajaan turut memperuntukkan RM3.7 bilion di bawah program penjanaan pekerjaan di bawah Belanjawan 2021 yang baharu dimulakan.

Menurut Tengku Zafrul, ini turut merangkumi program insentif pengambilan pekerja bagi majikan dan perniagaan.

Sementara itu, di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Khas Prihatin, PSU 2.0 yang diletakkan di bawah pakej Kita Prihatin, sehingga 15 Januari 2021, kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM590.35 juta kepada 57,146 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 475,510 pekerja.

"Seperti yang dinyatakan semasa Belanjawan 2021, PSU bersasar juga diperkenalkan bagi membantu sektor pelancongan dan peruncitan, manakala kesemua sektor yang terkesan oleh pelaksanaan PKP tahun ini adalah layak untuk menerima sokongan PSU 3.0 di bawah pakej Permai," kata Tengku Zafrul.

Beliau menambah, bagi PSU 1.0 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang masih berjalan pula, ia telah mencapai nilai penyaluran sebanyak RM12.702 bilion untuk 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja yang didaftarkan setakat 15 Januari. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!