Bekas pesakit Covid-19 mahu ubah persepsi masyarakat

Badrol Hisham (kiri) menyampaikan sumbangan selain memberikan kata-kata semangat kepada pesakit Covid-19. - Foto Facebook Suzana Salleh
Badrol Hisham (kiri) menyampaikan sumbangan selain memberikan kata-kata semangat kepada pesakit Covid-19. - Foto Facebook Suzana Salleh
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Prihatin dengan nasib menimpa pesakit Covid-19, seorang usahawan yang pernah positif penyakit itu tahun lalu melakukan kerja amal bagi membantu meringankan bebanan mereka yang dijangkiti.

Selain menyampaikan sumbangan makanan, bekas pesakit Covid-19 itu turut mengambil peluang memberikan semangat kepada mangsa lain.

Badrol Hisham Zaki, 52, berkata, pengalaman pernah dikuarantin selama 14 hari tahun lalu dimanfaatkan sebaiknya untuk dikongsi bersama pesakit yang menerima nasib sama.

Bagaimanapun, katanya, stigma negatif atau pandangan serong terhadap pesakit Covid-19 masih berakar dalam kalangan masyarakat walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilakukan pihak kerajaan.

“Setiap kali bertemu mereka yang memandang serong kepada pesakit Covid-19, saya berusaha seboleh mungkin untuk memperbetulkan tanggapan negatif yang telah sebati dalam diri individu terbabit.

"Saya cuba sampaikan fakta sebenar supaya mereka lebih faham dan tidak mengeji sebaliknya memberi sokongan kepada pesakit dan keluarga mangsa," katanya.

Badrol Hisham menambah, beliau juga tidak mahu pengalaman pahit yang dilalui bersama keluarga ketika disahkan positif Covid-19 turut dirasai individu lain.

"Saya disahkan positif Covid-19 pada 25 September 2020. Ketika itu perniagaan bakeri yang diusahakan isteri turut terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap usaha ini dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat agar tidak berterusan memandang serong atau terus menyimpan tanggapan negatif kepada pesakit Covid-19, ” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Badrol Hisham yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Terengganu menyampaikan sumbangan makanan dan cecair pembasmi kuman kepada lebih 200 individu di sebuah pusat pengajian Islam yang dikuarantin di daerah Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, hasil sumbangan itu diperoleh menerusi sahabat dan ‘The International Committee of the Red Cross’ (ICRC) Jepun.

Katanya, beliau tersentuh melihat ramai pelajar di sebuah pusat pengajian Islam di sini terpaksa menjalani tempoh kuarantin kerana dijangkiti Covid-19.

"Kebanyakan mangsa adalah pelajar berusia belasan tahun. Sudah pasti perasaan dan emosi mereka terganggu kerana tidak boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa.

“Saya harap sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat menceriakan mereka," katanya.