Pokok ganja boleh ditanam, jika beri kemujaraban dalam perubatan

Zulkifli menyampaikan anugerah khas kepada wakil Sinar Harian, Nor Khalilah Gusti Hassan (kiri) pada majlis itu malam tadi.
Zulkifli menyampaikan anugerah khas kepada wakil Sinar Harian, Nor Khalilah Gusti Hassan (kiri) pada majlis itu malam tadi.
A
A
A

KUANTAN - Pokok ganja boleh ditanam bagi tujuan perubatan dan kajian, tetapi ia perlu mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan terlebih dahulu.

Ketua Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, terdapat undang-undang yang memberikan ruang untuk tujuan itu dengan bersyarat ia perlu diberikan kebenaran secara khusus.

“Saya ada baca semalam, ada rakyat Malaysia berjaya menghasilkan minyak ganja..jadi saya rasa sayang, kalau benda ini betul di negara ini pun boleh buat kajian.

“Tetapi yang mustahaknya perlu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan sekaligus ia boleh dihasilkan bagi tujuan perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Apreseasi AADK Pahang bersama Rakan Pintar dan Rakan Strategik di Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, malam tadi.

Zulkifli menjelaskan, sekiranya pokok ganja itu mampu memberi kemujaraban dari segi perubatan, pihak berkenaan perlu melakukan sesuatu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penanaman ganja seharusnya dilakukan dengan betul.

“Pokok ini tidak boleh tanam bersepah-sepah...sebab bahan itu adalah dadah...jadi kita kena kawal sebaiknya, malah sesetengah negara sudah ada aktiviti penamanan sebegini.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh morfin atau kodein dari pokok popi yang dibuat secara sah dengan kebenaran dan penanamannya pula secara terkawal,” katanya.

Beliau turut mengandaikan, jika malaysia ada bahan sebegitu, satu hari nanti mungkin negara ini boleh menjadi pengeksport.

Menyentuh malam apresiasi, Zulkifli berkata, majlis terbabit meraikan hampir 150 rakan pintar dan rakan strategik yang selama ini bersama berganding bahu dalam usaha menangani permasalahan dadah di negeri ini.

Jelasnya, kerjasama erat itu memberi gambaran jelas kepada masyarakat bahawa usaha membanteras dadah, bukan sekadar tanggungjawan kerajaan dan agensi, sebaliknya memerlukan kerjasama dari semua pihak.

“Saya akui peranan wartawan dan media massa dalam pembangunan dan permodenan negara penting kerana menerusi penulisan mereka, dapat mengubah pemikiran rakyat.

“Jadi dalam konteks AADK, media bertindak sebagai penghubung yang mendekatkan agensi dengan masyarakat dari akar umbi,” katanya.