X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang benarkan solat fardu, Jumaat di masjid

A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang membenarkan solat fardu diadakan di semua masjid dan surau di negeri ini dengan jumlah jemaah seramai 15 orang berkuat kuasa pada Rabu.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat prosedur operasi standard (SOP) pada Selasa.

Menurutnya, bagi solat Jumaat dibenarkan diadakan dengan kehadiran jemaah seramai 12 hingga 45 orang berusia 15 hingga 70 tahun termasuk jawatankuasa kariah, pegawai masjid dan siak.

Beliau berkata, bagi solat jenazah yang disahkan tiada jangkitan Covid-19 boleh dilakukan di masjid dan surau dihadkan kepada 20 orang.

"Bagaimanapun, ziarah kubur selepas pengebumian selesai masih tidak dibenarkan.

"Kita juga menetapkan ruang solat musafir juga disediakan di masjid dan surau bagi kemudahan pekerja e-hailing, khidmat penghantaran dan seumpamanya," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Pulau Pinang menangguhkan beberapa aktiviti di masjid dan surau negeri itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 13 hingga 26 Januari.

Antara aktiviti yang ditangguhkan ialah solat fardu dan Jumaat bagi orang awam serta urusan akad nikah.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang di Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, laungan azan di masjid digantikan dengan lafaz azan disebut kepada 'sollu fi buyutikum' (solatlah di rumah kamu).

Menurutnya, kebenaran turut diberikan hanya kepada aktiviti bacaan Yasin dan tahlil kepada 15 orang yang terdiri daripada pegawai masjid, siak dan ahli jawatankuasa kariah sahaja selepas solat fardu.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zakiyuddib berkata, urusan akad nikah dibenarkan berlangsung di Pejabat Agama Daerah masing-masing dan terhad kepada 10 individu.

Katanya, arahan pelaksanaan aktiviti masjid dan surau itu akan dikeluarkan dari semasa ke semasa secara berperingkat tertakluk kepada situasi perkembangan terkini wabak Covid-19 serta atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!