X

Kindly register in order to view this article
!

PKP berjaya kurangkan kes Covid-19 di Kelantan

Dr Zaini (depan) memantau keadaan terkini di PKRC Dewan Jubli Perak MKPB-BRI di sini pada Rabu.
A
A

KOTA BHARU - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan antara faktor yang dilihat berjaya mengurangkan kes Covid-19 daripada tiga angka kepada dua angka di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, tiada kebenaran rentas negeri dan daerah dapat mengurangkan risiko jangkitan terutama membabitkan penduduk dari zon merah.

Menurutnya, selain penguatkuasaan perkara paling penting ialah pematuhan masyarakat di negeri ini terhadap prosedur operasi standard (SOP) dilihat berkesan memutuskan rantaian penularan Covid-19 di Kelantan.

“Dengan trend kes harian yang semakin menurun ini saya berharap masyarakat terus mematuhi SOP supaya kadar kebolehjangkitan dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita pada Rabu di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Terdahulu beliau menerima sumbangan peralatan daripada Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Sukarelawan Yadim Kelantan, Gabungan NGO Hadapan Kelantan (Gohek) dan Misi Kembara Dakwah sempena Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaadah Covid-19 Siri Dua di sini.

Hadir sama, Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang.

Pada 22 Januari lalu Kelantan mencatatkan kes harian yang tinggi iaitu 161 kes dan beberapa hari direkodkan dengan tiga angka yang kemudiannya semakin berkurangan kepada dua angka.

Terbru pada Selasa, sebanyak 76 kes dicatatkan di Kelantan dengan 18 kluster masih aktif dan dijangka terus berkurangan.

Dalam perkembangan sama berkaitan dengan Kluster Penjara, Dr Zaini berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama pengurusan penjara bagi mengelak penularan wabak berkenaan.

Katanya, setiap tahanan akan ditransitkan terlebih dahulu di Batu Jong sebelum dihantar ke penjara terlibat sama ada di Machang atau Pengkalan Chepa.

Setakat ini katanya, terdapat 33 kes direkodkan berkait Penjara Pengkalan Chepa dan sembilan di Machang namun jumlah berkenaan tidak bertambah sejak dua minggu lalu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!