Mengaku curi RM79,200 dari akaun Tabung Haji mangsa ragut

 Seorang buruh mengaku bersalah atas 19 pertuduhan mencuri RM79,200 wang Tabung Haji milik mangsa ragut melalui transaksi dalam talian tahun lalu.
Seorang buruh mengaku bersalah atas 19 pertuduhan mencuri RM79,200 wang Tabung Haji milik mangsa ragut melalui transaksi dalam talian tahun lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 19 pertuduhan mencuri RM79,200 wang Tabung Haji milik mangsa ragut melalui transaksi dalam talian tahun lalu.

Tertuduh, Wan Mohamd Nadzir Wan Zahari, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 1 Februari depan sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.

Mengikut 19 pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan capaian tanpa kuasa untuk melakukan kesalahan curi dengan menggunakan perbankan internet memindahkan wang Tabung Haji berjumlah RM79,200 daripada akaun seorang wanita, Nek Hasnah Awang @ Mohamed Ali Rahim, 57 ke tiga akaun Tabung Haji berbeza milik Muhammad Hafiq Zulkifli, 27; Nur Afiqah Mohd Shah Waliallah, 28 dan Faezah Ibrahim, 22.

Kesalahan dilakukan oleh Wan Mohamd Nadzir di Bank Tabung Haji, Pasir Puteh sebanyak 19 kali antara tempoh 11 September hingga 6 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Faizuan Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sementara menunggu tarikh untuk hukuman.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Nek Hasnah yang bekerja sebagai penjaga Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Pasir Puteh menjadi mangsa ragut dalam kejadian September tahun lalu.