Empat sahabat terlepas hukuman gantung

Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu melepas dan membebaskan empat tertuduh atas pertuduhan mengedar dadah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir pendakwaan
Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu melepas dan membebaskan empat tertuduh atas pertuduhan mengedar dadah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir pendakwaan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat sahabat terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru di sini pada Rabu melepaskan dan membebaskan kesemua mereka daripada tuduhan mengedar dadah.

Tertuduh, T Muniswaran, 47, P Sugendran, 35, M Thiyagan, 38, dan S Arumugan, 35, dilihat tenang selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar membacakan keputusan itu terhadap kesemua tertuduh.

Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Pendakwaan telah gagal membuktikan intipati pemilikan dan pengedaran dadah bagi pertuduhan pindaan pertama dan juga pemilikan dadah bagi pertuduhan pembelaan kedua terhadap kesemua tertuduh.

Mengikut tuduhan pindaan pertama, kesemua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 153.34 gram di sebuah rumah di Taman Muhibbah, Saleng, Kulai kira-kira jam 4.20 pagi pada 20 Februari 2017.

Bagi pertuduhan itu kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, kesemua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis ketamine seberat 3.22 gram di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Di bawah pertuduhan itu kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Seramai enam saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Muniswaran diwakili peguam G Subramanian Nair, manakala Sugendran dan Thiyagan diwakil G K Sritharan dan P Rajagunaseelan manakala Arumugam diwakili peguam Shaik Saleem S M Daud.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali.

Sementara itu beberapa ahli keluarga yang berada di luar pekarangan mahkamah dilihat menangis dan terharu dengan keputusan berkenaan.