Isu halal di media sosial

A
A
A

KITA sering menerima pelbagai bentuk maklumat berupa gambar atau teks mengenai isu halal dan haram melalui media sosial, khususnya WhatsApp, Facebook dan Instagram. Kadangkala maklumat mengenai halal dan haram sesuatu produk makanan mewujudkan rasa syak wasangka, cuak dan membingungkan kita. Sejauh mana kebenaran isu dan produk yang dikatakan haram atau tidak halal disebarkan oleh media sosial?

Malah kadang-kadang apabila disemak dalam laman sesawang dan juga media sosial lainnya, sesetengah video yang diviralkan bukanlah dalam negara ini. Tetapi telah disebarkan lebih sepuluh kali dalam kumpulan WhatsApp. Keadaan ini menyebabkan pengguna Islam semakin keliru dan tidak lagi menggunakan produk yang dikatakan tidak halal itu. Mungkin ini ada kebaikannya. Namun apa kata kalau maklumat yang tersebar sarat dengan fitnah atau sengaja dilakukan pihak tertentu untuk membaikot produk berkenaan?

Di satu sudut, jika benar sesetengah produk yang didakwa adalah tidak halal, maka perlu kita tidak memakan atau menggunakannya. Namun ada pula wujud kenyataan yang mengelirukan.

Contohnya kesalahan fakta atau usaha mensabotaj produk keluaran Muslim, tetapi dikatakan haram? Telah wujud rungutan dalam kalangan pengusaha Bumiputera yang mendapat Sijil Halal Jakim tetapi dikatakan tidak halal. Ini telah membunuh usahawan dan ekonomi Bumiputera.

Manakala di sudut yang lain pula, apakah status produk bukan Muslim tetapi telah mematuhi prosedur dan mendapat Sijil Halal Jakim?. Adakah usaha dan kegiatan menyatakan sesuatu produk itu halal atau tidak yang sering diulangsiarkan dan disebarkan di media sosial merupakan agenda tersembunyi lebih kepada 'permainan pasaran'?

Justeru, kebanjiran isu halal dan haram di media sosial ini perlu ditanggani oleh pihak berwajib seperti Jakim. Walaupun Jakim telah mewujudkan portal khas - Portal Rasmi Halal Malaysia mengenai status halal dalam laman sosial mereka, tetapi berapa ramai yang cakna mengenai peranan portal tersebut?.

Namun, Jakim perlu juga sentiasa memantau produk makanan dalam pasaran mendapat Sijil Pengesahan Halal Jakim dari semasa ke semasa. Dicadangkan juga agar sekiranya wujud persoalan tular dalam media sosial mengenai status halal dan haram khususnya makanan, maka pihak Jakim akan memberikan maklum balas terhadap perkara ini.

Media juga sepatutnya menjadi sumber utama untuk mengetahui isu halal dan haram. Terdapat tiga faktor penentu pemilihan media oleh pelajar Islam iaitu ciri media, pengalaman penggunaan dan persepsi terhadap media serta motivasi untuk mengetahui isu spesifik berkaitan halal dan haram. Kajian juga mendapati bahawa media baharu merupakan saluran yang paling popular dalam kalangan pelajar Islam untuk mengetahui isu terkini tentang halal dan haram dalam urusan muamalat.

Artikel Berkaitan:

Melihat kepada kehidupan umat Islam di Malaysia sekarang ini, kita seharusnya tidak perlu bimbang dan ragu mengenai status halal sesuatu makanan dan barangan keperluan. Jakim telah memainkan peranan yang sangat efektif dalam memastikan kualiti halal sesuatu produk itu terjamin sehingga Malaysia telah dinobatkan sebagai peneraju utama bagi makanan halal seperti yang dikeluarkan oleh State of Global Islamic Economy Report 2015.

Sebagai orang Islam yang bertanggungjawab, seharusnya kita tidak merasa sangsi dengan peranan Jakim yang sentiasa memberikan kemudahan kepada kita selama ini dalam memilih produk yang halal.

Ditinjau daripada perspektif syarak, masyarakat Islam diwajibkan untuk mencari yang halal bagi setiap perkara. Jika diperhalusi dengan lebih terperinci lagi, halal mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan soal keberkatan. ALLAH SWT hanya akan menganugerahkan keberkatan kepada individu melalui sumber-sumber yang diperolehnya secara halal dan jelas.

Oleh itu, soal halal dan haram ini merupakan teras kepada kehidupan sebagai seorang Islam kerana ia boleh membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditanggani oleh individu, organisasi dan juga pihak berwajib. Kelekaan dan ketidakperihatinan kita terhadap persoalan ini juga boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam lembah kehinaan.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi,Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM